Persaingan sengit dalam Anugerah Skrin 2018

ACARA berprestij Anugerah Skrin 2018 (ASK 2018) edisi ke-22 bakal berlangsung 2 November ini di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Kuala Lumpur. ASK 2018 mempertaruhkan 30 kategori yang merangkumi 14 kategori drama, tujuh kategori filem dan sembilan kategori bukan drama dan teknikal.

Buat julung kalinya memperkenalkan tiga kategori baharu iaitu Drama Rantaian Terbaik (Kategori Bahasa Cina, Pelakon Lelaki Terbaik Drama Rantaian dan Pelakon Wanita Terbaik Drama Rantaian.

Satu kelainan, sebanyak enam kategori bukan drama akan diraikan dalam slot istimewa siaran langsung Melodi ASK 2018 pada 28 Oktober pukul 12.00-1.30 tengah hari.

Drama lakonan Ayda Jebat, Redza Rosli, Nad Zainal dan Diana Danielle, antara yang dipertandingkan dalam ASK 2018.

Berbeza daripada sebelum ini, ASK 2018 tiada hos utama sebaliknya penyampai akan bertindak dengan cara tersendiri untuk menyemarakkan malam anugerah.

Penyampai yang dipertanggungjawabkan termasuk Datuk Rosyam Nor, Nora Danish, Awal Ashaari, Ayda Jebat, Zahirah McWilson, Elly Mazlein, Sherry Al-Haddad, Izzue Islam, Sharnaaz Ahmad, Naz Habibur Rahman dan Shuk Sahar.

Malam itu acara akan diserikan dengan persembahan Wany Hasrita, Ernie Zakri & Shiha, Jaclyn Victor & Elvira Arul, Altimet & Amelia Henderson, Raja Shahiran & Shawn Lee, Andrew Lee, Alpha Movement dan kumpulan OAG.

Manakala acara karpet merah akan disiarkan menerusi program Pop TV pukul 8.30 malam di saluran ntv7 yang dikendalikan oleh Aaron Al-Fateh dan Ain Edruce.

Anugerah Skrin memberi pengiktirafan kepada penggiat seni tanah air yang telah bekerja keras menghasilkan sesebuah drama atau filem.

Pengiktirafan ini diharap dapat menyumbang perkembangan industri seni yang lebih baik dengan penghasilan karya yang lebih bermutu dan berkualiti.

DRAMA APA YANG TERBAIK?

Calon-calon Drama Terbaik kali ini ialah 4K, Abang Kandung, Aku Nazmi, Cucu Atuk, Dosa Perempuan, Fatonah Azali, Kasih Seorang Ayah, Luyak, Nisaa, Pendosa Ingin Ke Syurga, Qalbu dan Tulus Cinta.

Drama Rantaian Terbaik pula disaingi Andainya Takdir 2, Isteri Untuk Diikhtiraf, Nafas, Nur, Raisha dan Teratai Kemboja. Sementara itu untuk kategori bahasa Cina ialah Green Wall, Growth Behind The Sun, Persona 2, The Men In Black School dan The Memoir of Majie.

Drama Komedi Terbaik pula menyaksikan persaingan Aku Dia Lagu, Mak Cun 4, Mat Rukun, Suamiku Mat Piun dan Shah & Zam.

Bagi kategori filem pula, antara filem tercalon ialah Abang Long Fadil 2, Bisik Pada Langit, Blok 404, Bukan Cinta Malaikat, Buskers, Dukun, Hijabista Ballet, Kau Takdirku, Kau Yang Satu, KL Special Force, KL Wangan, Bikin Gempak, Perangsang Rentap, Pinjamkan Hatiku, Pulang, Rempit Sampai Langit dan Tombiruo: Penunggu Rimba.