“Perceraian Bukan Jalan Penyelesaian”

Tiz Zaqyah, Alif Satar dan Siti Saleha pamer lakonan baik dalam filem televisyen Memori Pajeri Nanas FOTO: ROHAIDA ZULKIFLI

PERCERAIAN sebenarnya bukanlah satu jalan penyelesaian dalam kemelut rumah tangga, menjadi intipati jalan cerita filem televisyen (FTV) Memori Pajeri Nanas, arahan Aidilfitri MY.

Judul tersebut diangkat memandangkan masakan pajeri nanas antara hidangan mesti ada dalam setiap majlis perkahwinan.

“Semua orang sedia maklum, kebanyakan orang perempuan disebabkan benda kecil pun boleh jadi besar kerana berkecil hati.

“Jadi, di sinilah peranan lelaki bergelar suami untuk membetulkan keadaan,” kata pengarah Aidilfitri MY mengenai karya terbaharunya itu. Beliau sebelum ini menghasilkan drama bersiri popular Rindu Awak 200%.

Menyatukan tiga pelakon hebat, Alif Satar, Tiz Zaqyah dan Siti Saleha, Memori Pajeri Nanas bakal ditayangkan di Astro First Eksklusif bermula 20 Julai ini dengan harga tawaran sebanyak RM15.90.

“Mereka bertiga punya keistimewaan tersendiri yang dapat merealisasikan tanggungjawab watak dengan baik,” ujar Aidil lagi.

Bagi Alif Satar, sesuatu yang berbeza berbanding karakter sebelum ini apabila dalam FTV ini memerlukannya menjadi seorang chef terkenal.

“Saya tertarik sebab watak Chef Armand ini memerlukan saya untuk tahu cara pegang pisau dan menghiris bawang dengan betul.

“Inilah masalahnya sebab saya bukannya handal memasak. Kalau setakat masak ringkas di rumah, tahulah.

“Tetapi saya sahut cabaran pengarah dengan dibantu dua orang chef dari sebuah restoran terkenal agar saya tidak nampak kekok berada di dapur,” jelas Alif.

Tiz Zaqyah dan Alif Satar pertama kali digandingkan sebagai suami isteri

Tiz Zaqyah pula mengatakan meski belum berkahwin namun beliau tiada masalah memegang watak Kayla, isteri kepada Chef Armand lakonan Alif Satar.

“Banyak adegan antara saya dengan Alif dilakonan secara natural sebab kami tidak kekok meski ini pertama kali digandingkan.

“Tak adalah sampai nak kontrol sangat, lepaskan sahaja dialog itu. Tentang bab wanita dah berkahwin ini saya banyak tengok daripada kawan-kawan yang sudah berkahwin, jadi tiada masalahlah,” ungkap Tiz.

Siti Saleha pula yang memegang watak Chef Camelia, rakan baik yang juga bekas teman wanita Chef Armand semasa zaman universiti.

“Masing-masing adalah pelakon hebat. Bagi saya dalam kehidupan berumah tangga, perkara penting ialah komunikasi.

“Saya banyak juga belajar dari filem ini tentang rumah tangga memandangkan tak lama lagi saya sendiri bakal kahwin.

“Kita beajar daripada kesilapan dan kita semua boleh belajar banyak benda baik mengenai rumah tangga dari filem ini,” terang Siti Saleha yang popular menerusi drama bersiri 7 Hari Mencintaimu.

Memori Pajeri Nanas berkisar tentang kemelut rumahtangga Chef Armand (lakonan Alif Satar) dengan Kayla (Tiz Zaqyah) apabila isterinya itu salah sangka beliau curang dengan bekas teman wanitanya, Chef Camelia (Siti Saleha).

Armand yang rungsing memikirkan menu terbaharu untuk hidangan Ramadan di restorannya sering meluahkan perasaan pada Camelia tentang masalah rumah tangga. Camelia pula membantu Armand untuk menawan kembali hati isterinya itu yang berhasrat bercerai dan berhijrah ke luar negara.

Tayangan perdana Memori Pajeri Nanas untuk pihak media telah diadakan di sebuah pusat membeli-belah terkemuka ibu kota pada petang Rabu, 12 Julai.

Tiz Zaqyah dan Siti Saleha, antara pelakon wanita terbaik tempatan