Peranan Besar Mutawif Selebriti

Ketua Pegawai Eksekutif Manhajj Brothers Sdn Bhd, Abdul Halim Ikhsan

Dalam dunia serba canggih dan dimonopoli oleh media sosial, para pendakwah berhadapan dengan cabaran yang besar dalam menyebarkan dakwah.

Untuk itu, program realiti dakwah Manhajj Mutawif musim kedua diteruskan bagi melahirkan lebih ramai anak muda yang bijak berdakwah.

Program Manhajj Mutawif yang dibawakan oleh syarikat  Manhajj ini bertujuan melatih para peserta muda untuk menjadi mutawif atau orang penting yang mengajar dan membantu jemaah Malaysia sepanjang mengerjakan umrah dan haji di tanah suci Mekah.

Para peserta Manhajj Mutawif musim kedua bersama juri-juri

Ketua Pegawai Eksekutif Manhajj Brothers Sdn Bhd, Abdul Halim Ikhsan, mahu meneruskan program ini sehingga musim keenam.

“Saya melihat ketika ini ramai golongan muda berminat dan berwibawa untuk membawa rombongan jemaah dari tanah air sehingga selesai ibadah di Mekah.

“Jadi program Manhajj Mutawif ini antara platform yang bagus untuk melatih mereka menjadi mutawif yang berkebolehan, pasar dengan ilmu dan mempunyai sikap kepimpinan yang tinggi.

“Bukan itu sahaja, sesuai dengan perkembangan pantas media sosial sekarang, para peserta mutawif harus lebih kreatif menyampaikan dakwah. Ini kerana, dakwah yang berkesan adalah dakwah yang mengikut trend masa kini serta tidak ketinggalan zaman.”

Luah Abdul Halim yang memberi jaminan para peserta mutawif akan mengikat kontrak setahun bersama Manhajj.

Beliau juga turut mahu melahirkan pemandu pelancong muslim di negara-negara yang sering menjadi destinasi pelancongan seperti Korea, Thailand, Jepun dan banyak lagi.

“Mungkin juga ada di kalangan peserta akan dilatih menjadi pemandu pelancong Muslim.

“Bagi saya, kita kekurangan pemandu pelancong yang boleh menggunakan unsur dakwah dalam membawa pelancong. Jadi para peserta ini dilatih untk menggunakan pendekatan dakwah yang sesuai dengan destinasi pelancongan.

“Bumi Allah ini luas. Semua negara yang kita kunjungi pasti akan ada yang boleh dikaitkan dengan dakwah yang lebih santai.”

Program realiti dakwah Manhajj Muwatif yang sudah bermula siarannya pada 26 Januari lalu di saluran Astro Oasis, Astro Oasis HD dan Zayyan FM ini menampilkan lapan peserta.

Manhajj Mutawif dihoskan oleh Sharifah Shahirah dan Amin Idris

Para peserta Manhajj Mutawif untuk musim kedua ini ialah Muttakin Akmal Maarof, 29, Muadz Mohd Isa, 31, Mohamad Shazni Khir Bahari, 31,  Muhammad Fauzi Tumin, 22, Muhammad An-Naim Yasim, 22 dan Mohamad Hazwan Padzil, 28.

Selain dari Malaysia, program ini turut disertai oleh peserta dari Brunei, Adi Asmat Lamat, 29 dan Muhammad Zulfadhli Razali, 28, dari Acheh, Indonesia.

Program Manhajj Muwatif yang sudah bermula siarannya pada 26 Januari lalu di saluran Astro Oasis turut dimeriahkan dengan ramai selebriti popular seperti Ropi, Ebby Yus, Salman, Syed Nahar, Amy Mastura dan ramai lagi.

Program ini dihoskan oleh  Sharifah Shahirah dan Amin Idris.