Pencarian semula cinta sejati dalam “Love Amongst War”

 

DRAMA bersiri Kantonis bertajuk “Love Amongst War” bersiaran setiap Isnin hingga Jumaat pukul 5.00 petang bermula 26 September lalu di TV2.  

Rancangan menarik yang mengisi slot Golden Phoenix ini mengisahkan tentang sejarah pahlawan legenda di China. Menampilkan barisan pelakon Benny Chan, Jessica Hsuan dan Angel Lou yang mengangkat peristiwa di era Xiantong semasa pemerintahan Maharaja Yizong dari Dinasti Tang. Siri ini ditulis dan diterbitkan oleh Jian Yuanxin, serta diarahkan oleh Lin Tianyi.

Diadaptasi dari cerita rakyat terkenal di China, siri 48 episod ini menggambarkan cinta yang tidak berubah antara seorang putera diasingkan dengan seorang wanita bangsawan. Pada Dinasti Tang, sebagai hasil dari perebutan kuasa, Pangeran Mahkota kecil melarikan diri dari Istana Kerajaan.

Dia kemudiannya mengambil keputusan melakukan penyamaran dengan menggunakan nama samaran iaitu Xue Pinggui, dan tinggal dalam kalangan rakyat jelata.

Masa berlalu hingga dirinya meningkat dewasa kemudianya memutuskan kembali ke ibu kota. Pada masa sama dia ditakdirkan jatuh cinta dengan seorang wanita bangsawan yang cantik, dikenali sebagai Wang Baochuan, puteri ketiga daripada menteri.

Wang Baochuan berkahwin dengan Xue Pinggui dan melawan kehendak ayahnya sehingga sanggup memutuskan hubungan dengan orang tuanya juga. Tak lama setelah itu, Xue Pinggui bergabung dengan tentera dan berperang melawan Xi Liang, musuh Tang. Kerana cintanya terhadap negara, dia sanggup meninggalkan isteri yang baru dinikahinya.

Sementara itu Wang Baochuan menderita kemiskinan, kelaparan dan sakit sambil menunggu kembalinya suami tercinta. Dia hanya meneruskan kehidupan dengan memakan hidupan liar supaya tidak kebuluran. Segalanya dilakukan kerana sayangkan suaminya itu.

Pengorbanan Xue Pinggui untuk meninggalkan isterinya dan berperang untuk menyelamatkan negara sememangnya berhasil. Dia berjaya mengalahkan pihak musuh dan memastikan kemenangan berpihak kepada mereka.

Tidak lama kemudian dia menikahi Putri Xi Liang untuk menghindari perang dan kemudian mewarisi takhta. Pada masa sama terpaksa menerima hakikat akan terus kehilangan Wang Baochuan dalam hatinya.

Setelah 18 tahun, Xue Pinggui kembali ke Tang dengan satu azam iaitu kembali semula ke pangkuan Wang Baochuan yang pernah ditinggalkan. Namun adakah isterinya itu memaafkannya? Masihkah ada ruang kemaafan buat Xue Pinggui yang meninggalkannya sejak sekian lama? Ikuti kesudahannya dalam siri menarik ini.

Bagi mereka yang tidak sempat untuk menonton di TV, mereka berpeluang menontonnya menerusi portal online, Myklik (myklik.rtm.gov.my). Rancangan ini juga dapat ditonton melalui rtm mobile. Muat turun aplikasinya di Google Play dan App Store.