Pencarian Bakat Mister Planet Nation Malaysia 2019 Bermula!

Lima juara bertubuh sedap edisi terdahulu iaitu (dari kiri) Ameerul Asyraf (MPM2017), Eizaaz Farez (MPM2014), Hazim Jayy (MPM2018), Nazirul Mubin (MPM2016) dan Nazmi Nordin (MPM2015).

Anda berbakat dan kacak? Bertubuh sedap dan mempunyai penampilan menarik? Inilah peluang keemasan yang tidak patut anda lepaskan!

Haa.. Program pencarian bakat Mister Planet Nation Malaysia 2019 (MPM2019) kembali dengan misi untuk mencungkil bakat baharu dalam kalangan jejaka-jejaka tempatan.

Memasuki musim keenam, MPM2019 kali ini dianjurkan oleh agensi pengurusan bakat FastyleAsia yang pernah mencorakkan kerjaya beberapa bintang popular, kali ini mereka fokus untuk kembali mewarnai industri hiburan tanah air.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Faslie Subari berkata, pengalaman syarikatnya membentuk karier seni Fattah Amin, Mira Filzah, Sherry Ibrahim dan Randy Pangalila sebelum ini mendorongnya untuk terus membuka ruang kepada wajah-wajah baharu.

Faslie Subari

“Kami percaya terdapat ramai pemuda di luar sana yang tidak tahu platform sesuai untuk mengetengahkan bakat seni mereka.

“Jadi, inilah peluang terbaik yang perlu direbut tidak kira bakat apa sekali pun sama ada pelakon, penyanyi, pengacara, peragawan dan sebagainya,” jelasnya.

Justeru, satu sesi uji bakat MPM2019 bakal diadakan pada 9 Disember ini di pejabat FastyleAsia, Level 8, Pavilion KL Bukit Bintang, bermula dari jam 12 tengah hari hingga 4 petang.

Hanya 16 peserta sahaja yang akan dipilih untuk mengikuti program disediakan penganjur termasuk pelbagai kelas kemahiran yang berkait rapat dengan industri kreatif Malaysia.

“Semua kelas yang kami sediakan adalah percuma dan dikelolakan oleh tenaga-tenaga pengajar berpengalaman. Mereka adalah golongan profesional yang bergiat aktif dalam industri ini.

“Setiap aktiviti diadakan pada hujung minggu sahaja dan tidak mengganggu kerja harian,” tambahnya.

Untuk maklumat lanjut, boleh rujuk di laman Facebook dan Instagram @misterplanetnationmalaysia.