Pembuli Syahrini Bakal Berdepan pihak Polis!

TAHAP kesabaran penyanyi  Syahrini sudah sampai ke penghujung. Dihentam, dikutuk, dikritik dan dibuli bertalu-talu dalam saluran media sosial membuatkan pelantun lagu Sesuatu ini tidak mampu menahan diri untuk terus berdiam diri!

Menjadi artis Indonesia yang mempunyai jumlah pengikut paling tinggi melebihi 20 juta di Instagram, diakui Syahrini tidak kurnag hebat mempunyai ramai haters (pembenci).

“Semuanya sudah direkodkan satu persatu. Selama ini setiap komen kasar, pedas dan membuli di Instagram, saya hanya berdiam diri.

“Namun, tahap sabar saya ada batasnya, jadi semuanya sudah pihak pengurusan laporkan kepada pihak polis,” jelas Syahrini kepada wartawan sewaktu ditemui di kawasan Thamrin, Jakarta Pusat, baru-baru ini.

Kata bekas pasangan duet Anang Hermansyah ini lagi, pihak pengurusannya sudah mengenalpasti beberapa akaun pembuli yang sering ‘menyerang’ di media sosial.

“Yang selalu ambil berat dan buat pemerhatian ialah pihak pengurusan. Satu persatu akaun pembuli sudah dikenalpasti,” ujarnya.