Pelumba Cub Prix, HAFIZ Meninggal Dunia

Hafiz Nor Azman meninggal dunia selepas terlibat dalam kemalangan ketika menyertai Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia Petronas 2018, petang tadi (16 Disember 2018)

Takziah MANGGA ucapkan buat seluruh keluarga pelumba negara, Allahyarham Hafiz Nor Azman

Pelumba Petronas Sprinta Yamaha CKJ Racing, Mohd. Hafiz Nor Azman, 22, meninggal dunia selepas terlibat dalam kemalangan ketika menyertai Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia Petronas 2018 di Dataran Bandar Penawar, Kota Tinggi, Johor, petang tadi.

Facebook rasmi Malaysian Cub Prix turut memuat naik gambar hitam putih Mohd. Hafiz yang merupakan pelumba kategori CP150 dengan ucapan Al Fatihah.

Pelumba berasal dari Perak itu disahkan meninggal dunia sejurus tiba di Hospital Kota Tinggi selepas terbabit dalam kemalangan pada pusingan terakhir kejuaran, kira-kira pukul 4 petang.

Video Hafiz Nor Azman kemalangan ketika perlumbaan

Difahamkan, kemalangan berlaku ketika pelumba tengah laju dan memasuki pusingan terakhir daripada keseluruhan 15 pusingan perlumbaan itu.

Menurut UTUSAN ONLINE, bapa mangsa, Nor Azman Mad Darus berkata, kemalangan dipercayai berlaku selepas pelumba di hadapan anaknya terlanggar penghadang papan iklan yang berada tepi litar sehingga menyebabkan ia terkeluar ke tengah litar.

“Arwah yang ketika itu berada di belakang tidak sempat mengelak dan menyebabkan dia terlanggar penghadang tersebut,” katanya kepada Utusan ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Kota Tinggi di sini hari ini.

Jenazah Hafiz akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kepayang, Perak, esok.

Tambahnya yang juga merupakan bekas pelumba, kejadian itu menyebabkan Mohd. Hafiz tidak sedarkan diri sebelum dia dibawa ke hospital dan disahkan meninggal dunia.

Sementara itu, rakan mangsa, Fakhrusy Syakirin, 22, yang merupakan pelumba dari SCK Rapido menyifatkan arwah Mohd. Hafiz seorang yang fokus dan peramah.

“Sepanjang berkenalan dengan arwah dan menjadi rakan sepasukan selama dua tahun, dia tidak pernah lokek berkongsi ilmu serta seorang yang peramah,” katanya.

Menurutnya, dia hanya melihat kemalangan itu melalui video di tempat perlumbaan dan sebelum kejadian, pelumba yang berada di hadapan arwah terlanggar penghadang di tepi litar.

Tambahnya, melalui video itu, dia melihat arwah terjatuh sebelum bahunya tersangkut pada pagar yang terbuka separuh lalu menyebabkan dada Mohd. Hafiz terkena pagar dan motosikal yang ditunggangnya terseret.

“Sejurus kejadian, kesemua pelumba diminta memberhentikan perlumbaan dan masuk ke kawasan perhentian,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Foto: Media Sosial & Utusan