Pelakon Wanita Dituduh Culik Kanak-kanak Perempuan 4 Tahun

Tyas Mirasih pernah membintangi filem Laga bersama Syazwan Zulkifly, terbitan produksi Malaysia tahun 2014.

PELAKON Tyas Mirasih sekali lagi terkait kontroversi. Kali ini heboh diperkatakan dunia hiburan Indonesia, pelakon filem Laga keluaran produksi Malaysia tahun 2014 itu telah menculik seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun.

Kanak-kanak bernama Amandine Cattleya itu juga merupakan anak yatim piatu setelah ibunya yang juga teman baik Tyas iaitu Sysilia dan bapa Amandine, Billy Ariffin Pohu, meninggal dunia.

Seorang wanita merangkap nenek kepada kanak-kanak terbabit iaitu Maryke Harris Pohu mendakwa Tyas tidak mengembalikan semula cucunya itu setelah meminta untuk dibawa bersiar-siar sejak November lalu.

“Ketika menantu saya (Sysilia) sedang sakit dan ditempatkan di rumah ibu angkatnya, dia (Tyas) datang sambil meminta izin membawa cucu saya jalan-jalan.

“Selepas dihubungi tiga, empat hari, telefon tidak berjawab dan sampai sekarang cucu saya tidak dikembalikan sehinggalah menantu saya meninggal dunia.

“Semua akses untuk bertemu dengan Amandine dihalang Tyas sambil mengatakan cucu saya tidak bersamanya.

“Saya tidak tahu apa muslihatnya. Kalau terjadi apa-apa pada cucu saya, Tyas harus bertanggungjawab,” luah Maryke kepada pihak media selain mengakui sudah melaporkan hal tersebut kepada pihak berkuasa.

Tyas Mirasih bersama kanak-kanak perempuan bernama Amandine Cattleya, anak kepada sahabat baiknya, Sysilia yang telah meninggal dunia, baru-baru ini.

Di samping itu, Maryke turut mendakwa Tyas telah mengeksplotasi cucunya bagi mendapatkan tajaan iklan dengan membuka akaun rasmi Instagram.

“Apa tujuan dia buka akaun Instagram buat cucu saya? Ini kerana mana-mana pihak yang mahu berurusan kerja dengan cucu saya harus melalui dia.

“Ini sudah kira eksplotasi. Apatah lagi cucu saya adalah anak yatim piatu,” ungkap Maryke lagi.

Sehingga saat ini, Tyas Mirasih yang juga bekas kekasih aktor Malaysia, Keith Foo, masih belum memberi sebarang maklum balas mengenai tuduhan nenek kepada kanak-kanak perempuan yang dimaksudkan.