Pelakon Gerak Khas, Nizen Ayob Meninggal Dunia Akibat Kegagalan Buah Pinggang

LAMA tidak mendengar berita mengenai karier lakonannya, Nizen Ayob, 33, rupanya menderita sakit buah pinggang.

Hari ini dunia hiburan tempatan menerima khabar duka, pelakon drama bersiri popular Gerak Khas itu telah meninggal dunia di Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru sekitar pukul 11.55 pagi Isnin.

Khabar tersebut dikongsikan pelakon Sheera Iskandar di akaun peribadi Instagram. Manakala, rakan pelakon allahyarham, Salina Saibi dalam siri diilham Datuk Yusof Haslam itu mengesahkan Nizen meninggal dunia akibat kegagalan fungsi buah pinggang.

“Innalillahiwainailaihirojiun. Sahabat kami Nizen Ayob baru sahaja pergi menghadap Illahi.

“Mohon doa dari semua moga rohnya di cucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang orang yang beriman. Amin.

“Semoga kau tenang di sana Nizen. Al Fatihah,” tulis Sheera yang turut memuatnaik foto sahabatnya itu.

Pada Mei tahun lepas, allahyarham pernah mendapatkan rawatan perubatan Islam setelah mendedahkan dirinya terkena penyakit misteri akibat disihir pihak yang cuba menganiayainya.

Khabar duka pemergiaan Nizen Ayob turut dikongsikan Norman Hakim di Instagram.