‘Pakcik Hot’ Remy Ishak Pikat Hati 11 Juta Peminat

Gandingan pertama kali Remy Ishak bersama pelakon baharu, Intan Najuwa yang memegang watak Hanan dalam drama Kekasih Paksa Rela.

ADAKAH anda masih belum dapat move on daripada ‘Pakcik Hot’ si Remy Ishak yang membawa watak Adham di samping dua wanitadalam hidupnya, Rosnaida serta Hanan?

Drama ‘Pakcik Hot’ Kekasih Paksa Rela sudah selesai di slot Akasia TV3 pada Isnin, 12 Februari lalu dan telah menambat hati 11 juta penonton.

Kekasih Paksa Rela adalah drama bukan adaptasi novel terbitan Creative Skill Solution Sdn Bhd, membariskan pelakon-pelakon baharu, Intan Najuwa, Ain Edruce, juga Afzan Rahman, Dayang Areeda, Nynaa Harizal, Datuk Jalaludin Hassan, Emelda Rosemila, Datuk Fizz Fairuz, Aman Graseka, Khaty Azian, Hazman Al-idrus, Azhar Amir dan Fatin Afeefa.

Drama arahan Idora Abdul Rahman ini telah bersiaran selama 28 epsiod sejak 26 Disember lalu dan telah mencipta fenomena tersendiri apabila sekali lagi menjadi ‘kegilaan’ penonton setia slot Akasia setiap kali ke udara.

Rating terkumpul untuk semua episod Kekasih Paksa Rela ini berjumlah 11 juta penonton dan episod akhir yang bersiaran pada 12 Februari 2018 dari pukul 7.00 malam sehingga 8.00 malam telah mencecah 3.8 juta penonton (sumber: Nielsen Audience Measurement).

Drama Kekasih Paksa Rela berkisar tentang Adham (lakonan Remy Ishak) dan Rosnaida (Ain Edruce) yang bernikah selepas tamat belajar tanpa persetujuan Datuk Azman, iaitu ayah Adham. Adham cuba merapatkan hubungan Rosnaida dan ayahnya, tetapi Rosnaida tetap berkeras kepala.

Akhirnya, Rosnaida membuat keputusan untuk melanjutkan pelajaran di Amerika Syarikat akibat tidak tahan dengan sikap mentuanya. Hanan (Intan Najuwa) pula yang masih bersekolah terpaksa menjaga ayahnya yang sedang sakit.

Apabila Rosnaida enggan pulang ke tanah air, Adham mengambil Hanan sebagai pekerjanya, dan menjaganya dengan baik. Demi mengelak daripada segala fitnah, Hanan terpaksa bernikah dengan Adham dan berusaha untuk memenangi hati Adham kerana ingin membalas jasa baiknya itu.

Gandingan Remy Ishak bersama Ain Edruce yang memegang watak isteri pertamanya, Rosnaida.

Setelah sekian lama mereka berumah tangga, Rosnaida pulang ke Malaysia secara tiba-tiba dan mengetahui rahsia Adham dan Hanan. Hubungan mereka bertiga menjadi semakin renggang apabila konflik-konflik perhubungan mula timbul satu persatu.

Akhirnya, Rosnaida mengalah dan menuntut cerai daripada Adham, meninggalkan Adham bahagia bersama Hanan. Sedang ditayangkan sekarang di slot sama ialah drama Tiada Arah Jodoh kita, lakonan Shukri Yahaya.

Melekat gelaran ‘Pakcik Hot’ buat Remy Ishak gara-gara kehangatan drama Kekasih Paksa Rela.