OKI SETIANA DEWI Berdakwah Untuk Kebaikan, Tak Melenting Kecaman Haters

SANGAT lembut, bernas dan lancar tutur kata aktres merangkap penceramah motivasi Islamik popular Indonesia, Oki Setiana Dewi, 28, saat mengendalikan sebuah program kisah teladan di sebuah stesen televisyen di negaranya.

Malahan, sudah menjadi tular satu video yang dikendalikannya membicarakan kisah teladan berjudul ‘Suamiku Tak Pernah Mencintaiku.’

Sejak namanya ngetop dengan karakter Ustazah Anna Althafunnisa di dalam sinetron dan filem Ketika Cinta Bertasbih pada 2009, sehingga sekarang wanita kelahiran Batam, Kepulauan Riau yang mesra dipanggil Oki itu masih mengumpul jumlah penggemar yang bukan sedikit, tidak sahaja di negaranya, malahan di Malaysia, Singapura serta Brunei.

Muncul selaku juri tetap dalam rancangan Gema Gegar Vaganza (GGV) sebuah pertandingan nyanyian Islamik yang julung kali diadakan, secara tidak langsung mengubat kerinduan peminat terhadap ibu kepada dua cahayamata perempuan ini.

“Saya tertarik pada GGV kerana ini program yang sangat baik iaitu berdakwah dengan cara yang menyenangkan dan dapat diterima  oleh semua generasi muda.

“Ianya program tidak berat tetapi banyak mengandungi mesej mendalam. Yang masuk bertanding adalah hebat dan bukan calang-calang biasa.

“Banyak lirik lagu positif dan menyuruh berbuat baik ke jalan Allah dan tiada yang negatif… ini merupakan cara dakwah terbaharu saya temui.

“Tambahan pula, saya sangat rapat dengan teman-teman di Malaysia sebab budaya hampir sama. Saya ingin merapatkan lagi hubungan itu. Lagipun saya juga ada butik di Bangi.

“Saya juga menguruskan lapan lagi butik muslimah di sekitar Jakarta, Bandung dan Medan sejak tahun 2014.

“Sebelum ini terlalu banyak jemputan untuk program, berlakon dan juga sesi ceramah namun waktu itu saya masih banyak urusan di Indonesia.

“Sejak dikenali menerusi Ketika Cinta Bertasbih, Malaysia ibarat rumah kedua. Saya selalu sokong program-program baik dan mudah-mudahan Indonesia juga ada rancangan seperti ini,” ujar Oki dalam satu pertemuan dengan Mangga Media yang diaturkan pihak Astro di ibu kota, baru-baru ini.

Oki Setiana Dewi juri tetap Gema Gegar Vaganza bersama Farihin Abdul Fattah. FOTO: SHAHRIL AZMAN ZAIN

Dalam niat murninya diundang mengadakan ceramah Islamik di merata negara, Oki tidak terkecuali menerima kecaman kononnya meminta bayaran mahal.

“Sosial media ini kita tidak pasti, mana satu akaun betul dan palsu. Dalam perjalanan kehidupan dan karier saya, semuanya baik-baik saja.

“Kita hidup di dunia maya dan kita tak tahu siapa yang beri komen. Bagi saya, orang mahu puji, orang mahu kecam atau orang mahu tengok atau sebaliknya…Saya tetap akan terus fokus melakukan hal-hal yang baik dengan bantuan daripada Allah,” jelasnya.

Oki kini sedang melanjutkan pengajian dalam dua jurusan peringkat Doktor Falsafah (Ph.D) jurusan Pendidikan Islam di sebuah universiti Jakarta serta jurusan Pendidikan Al Quran di Perguruan Tinggi Ilmu Al Quran Jakarta.

Beliau mengahwini Ory Vitrio pada 2013 dan memiliki dua cahayamata perempuan,Maryam Nusaibah Abdullah, 3 serta Khadeejah Faatimah Abdullah, 1.

Selain GGV, Ramadan ini juga Oki bakal muncul dalam program berjudul Oki & Srikandi Al-Quran di saluran Astro Oasis.

“Dalam program ini  saya akan menceritakan tentang kisah-kisah para sahabat wanita Rasulullah SAW dan akan ada tetamu undangan yang kisah mereka terinspirasi dari kisah para sahabat wanita Rasulullah itu.

“Sebagai contoh Siti Mariam yang menjaga kesuciannya, yang menjaga kehormatannya dan tetamu juga adalah seorang wanita sendiri yang menjaga kehormatannya.

“Sebuah program yang ada tawa, ada tangis,” katanya lagi yang bakal kembali ke dunia sinetron Indonesia selepas tiga tahun berehat kerana menguruskan kuliah dan keluarga.

Antara filem lakonannya, Ketika Cinta Bertasbih (2008), Ketika Cinta Bertasbih 2 (2009) serta Demi Cinta (2017). Sinetron pula, Ketika Cinta Bertasbih Spesial Ramadhan, Ketika Cinta Bertasbih Meraih Ridho Ilahi, Dari Sujud Ke Sujud dan Anak-Anak Manusia.

Oki juga pernah menghasilkan buku tulisannya iaitu, Melukis Pelangi ; Catatan Hati Oki Setiana Dewi : 2011, Sejuta Pelangi ; Pernik Cinta Oki Setiana Dewi : 2012, Cahaya Di Atas cahaya ; Perjalanan Spiritual Oki Setiana Dewi : 2012, Hijab I’m In Love : 2013 serta Dekapan Kematian : 2013.

Dalam karier seni, pada 2010 beliau diberikan anugerah Pendatang Baru Terbaik dan Aktres Pendatang Baru Terfavorit menerusi Ketika Cinta Bertasbih di Indonesian Movie Awards.

Oki Setiana Dewi banyak berkongsi cerita menarik bersama penulis Mangga Media