Nora Danish & Fachri Albar Dalam Bukan Cinta Malaikat

Salah satu adegan filem Bukan Cinta Malaikat, gandingan Fachri Albar dengan Nora Danish

SETELAH membuat kemunculan pertama dalam filem Indonesia, Surga Yang Tak Dirindukan 2 menerusi watak Sheila, pembantu kepada watak Arini lakonan Laudya Cynthia Bella, kini Nora Danish tampil dalam  filem Bukan Cinta Malaikat.

Filem terbaharu kolaborasi antara produksi Ganesa Perkasa Films dengan Ace Motion Pictures Sdn Bhd ini juga digarap Aziz M. Osman serta Herdanius Larobu.

Buat pertama kali juga Nora Danish bergandingan dengan aktor Fachri Albar yang memegang watak Reyhan. Nora pula sebagai Dewi.

Turut membintanginya, Ashraf Muslim (Adam), Donita, Dewi Irawan, Joshua Pandeleki, Iqbal Pakula, Edi Brokoli, Dewi Amanda.

“Filem ini sarat dengan adegan yang membuai perasaan penonton. Kesemua pelakon berhasil merealisikan karakter dengan baik,” ujar Aziz mengenai filem terbaharunya yang berdurasi 94 minit.

Bukan Cinta Malaikat mengisahkan Reyhan (Fachri Albar), seorang sukarelawan Muslim Care asal Bandung yang sedang bertugas di wilayah konflik di Timur Tengah.

Ketika berada di Madinah, Reyhan bertemu seorang wanita asal Malaysia bernama Dewi (Nora Danish) yang memerlukan bantuannya sewaktu sedang mengerjakan umrah.

Reyhan yang belum pernah berpacaran akhirnya jatuh cinta pada Dewi hingga membawanya ke Malaysia bagi meluah rasa cinta dan seterusnya melamar.

Namun, ternyata Dewi sudah mempunyai kekasih bernama Adam (Ashraf Muslim). Sementara, di Bandung teman kecil Reyhan, Aliyah (Donita), masih mengharapkan cinta Reyhan.

Nora Danish dan suami serta rakan baiknya, Laudya Cynthia Bella yang kini digosipkan bercinta dengan Engku Emran (kiri), bekas suami Erra Fazira

Filem yang berlokasikan Mekah, Madinah, Bandung dan Terengganu, Malaysia ini mula beredar di seluruh pawagam Indonesia bermula Khamis ini, 13 Julai.

Dalam perkembangan lain, peluang membintangi filem ini dengan lokasi di Mekah dan Madinah sekaligus memberi kesempatan buat Fachri Albar mengerjakan umrah.

“Setiap filem pengalamannya berbeza-beza. Dalam filem ini saya bisa juga buat umrah buat kali pertama,” ungkap Fachri, anak kepada penyanyi band legenda God Bless, Achmad Albar dan Rini S. Bono.

Filem popular Fachri ialah Kala dan Jakarta Undercover (2007).

Fachri Albar berkesempatan mengerjakan umrah buat pertama kali semasa penggambaran Bukan Cinta Malaikat di Mekah