Nina Tamam Nak Bercerai

 

BAGI penggemar muzik era 1990-an pasti mengenali salah seorang anggota kumpulan popular Warna, iaitu Nina Tamam, 43.

Masih aktif menyanyi dan berlakon, Nina bagaimanapun menggemparkan dunia hiburan Indonesia apabila mengemukakan permohonan cerai di pejabat Pengadilan Agama Jakarta Selatan, 19 April lalu.

Sebelum ini tidak terhidu pergolakan rumah tangga Nina dengan suaminya, Erikar Lebang. Mereka berkahwin pada 2002 dan dikurniakan seorang anak lelaki, Shaquille Skylar Kama, 4.

“Ya, betul (mahu bercerai). Saat ini permohonan cerai itu masih dalam proses di pejabat pengadilan agama,” jawab Nina sewaktu ditanya wartawan.

Belum diketahui punca sebenar Nina mahu bercerai. Ia memang mengejutkan kerana pasangan ini kerap berkongsi keharmonian rumah tangga di media sosial.

“Ya, mahu bagaimana lagi…” ungkap Nina lagi sambil tidak mahu mengulas lanjut.

Khabarnya, Nina sudah berpindah semula ke rumah keluarganya. Sementara itu, mahkamah membenarkan hak jagaan anak tunggal mereka kepada bekas suami.

Nina dan Erikar mencapai kata sepakat mengenai keputusan mahkamah tersebut.