Nia Ramadhani Dapat Izin Suami Kembali Ke TV

MASIH ingat sinetron Bawang Merah Bawang Putih? Sinetron terbesar dengan rating tinggi di RCTI Indonesia sewaktu ditayangkan sebanyak 108 episod selama dua tahun dari 2004.

Kemudiannya menjadi kegilaan rakyat Malaysia yang gilakan produk sinetron dari seberang apabila ditayangkan di TV3, dengan lakonan hebat Nia Ramadhani dan Revalina S Temat.

Saat itu, Nia yang memegang watak Bawang Merah menjadi kebencian peminat. Tidak lama kemudian sewaktu nama di puncak, Nia mengambil keputusan mengahwini pewaris taikun salah sebuah televisyen terbesar republik tersebut, Ardie Bakrie. Kini mereka bahagia dengan tiga cahayamata.

Mengubat kerinduan peminat, pelakon yang persis wajah Amyra Rosli itu kembali ke kaca televisyen, sebagai pembawa acara program Ngopi Dara di Trans TV bersama Jessica Iskandar.

“Iya begitulah, sudah ada program. Sejak dulu semasa ambil keputusan vakum (berehat seketika), saya katakan bakal kembali dalam dunia seni.

“Nah, sekaranglah masanya. Lagipun waktu penggambaran tidak lama, seminggu dalam dua kali sahaja di lokasi. Itupun ambil masa dua jam sahaja di sebelah pagi dari pukul 9.00 pagi.

“Di waktu itu pula, suami ke kantor (pejabat) bekerja. Pasti minta izin suami. Kalau dia ngak kasi izin, tak adalah saya kembali ke TV,” ujar Nia kepada wartawan.

Nia menganggap restu suami untuk kembali aktif dalam dunia seni satu peluang besar untuk mengembangkan semula kerjaya.

Bagaimanapun, keutamaan tanggungjawab masih pada rumah tangga. “Kepercayaan suami paling penting. Suami tak larang, asalkan saya tahu tanggungjawab urus rumah tangga.

“Selalunya, sebelum pukul 6.00 petang saya sudah berada di rumah,” katanya lagi.

Nia Ramadhani bersama suami dan anak-anak.