Nak Tengok Fattah Amin Kena Belasah Dalam KL Special Force

Babak karakter penjahat Asyraf (lakonan Syamsul Yusof) membelasah Inspektor Zul (Fattah Amin) dalam KL Special Force.

BARANGKALI para peminat setia Fattah Amin akan merasakan kelainan karakter lakonannya dalam filem, KL Special Force. Sebagai Zul, anggota polis yang tangkas membenteras jenayah, memerlukan Fattah beraksi lasak, juga tidak terkecuali kena belasah!

Setelah  menempa kejayaan membanggakan dengan kutipan filem tertinggi Abang Long Fadil 2 yang sebanyak RM18 juta tahun lepas, Syafiq Yusof terus mengorak langkah dalam penghasilan filem aksi drama, KL Special Force.

Sebuah naskah kepolisan yang bakal menemui penonton Khamis ini, 8 Mac di 137 pawagam seluruh Malaysia, Brunei dan Singapura.

KL Special Force telah menjalani penggambaran dua tahun lalu, menelan belanja sebanyak RM4 juta terbitan bersama SKop Productions Sdn Bhd, Damofa Productions dan Viper Studios. Manakala Astro Shaw memasarkan filem ini.

Barisan pelakon utama, Datuk Rosyam Nor (sebagai  Roslan- Ketua Unit PDRM), Syamsul Yusof (Asyraf), Fattah Amin (Zul), Tania Hudson (Mia), Sabrina Ali (Diana), Putri Balqis (Amira), Mahmud Ali Basha (Datuk Meor), Shaharuddin Tambi (Supt Azmi), Esma Daniel (Inspektor Azmi), Liza Abdulah (Ibu), Ramona Zamzam (Ned) serta Josiah Hogan (Bakar).

Pertembungan pertama kali Fattah Amin dengan Datuk Rosyam Nor dalam KL Special Force.
Mampukah KL Special Force meraih rating pecah panggung? Dari kiri- Syamsul Yusof, Rosyam Nor dan Esma Daniel.

Menurut pengarah muda yang pernah memenangi Pengarah Harapan Festival Filem Malaysia ke-25 (FFM25) melalui filem SAM ini, tujuan filem ini dibuat adalah untuk variasikan jenis filem yang dihasilkan oleh Skop Productions sendiri.

Filem Gerak Khas, KL Gangster, KL Drift, Mat Moto dan Munafik mempunyai pengikut yang tersendiri, dan kini kembali kepada semula kepada kisah kepolisan.

“Idea ini terhasil apabila saya hendak buat cerita polis yang lebih serius, tiada elemen komedi dan membariskan pelakon yang boleh membawa watak yang mencabar.

“Dari itu lahirnya idea untuk menghasilkan filem KL Special Force,” kata Syafiq yang turut menghasilkan skrip filem ini.

Apabila berbicara tentang pemilihan senarai pelakon, menurutnya lagi pemilihan dibuat dari awal skrip dihasilkan agar sesuai dengan karakter.

“Sebagai contoh dalam filem ini ada watak polis junior dan senior. Pemilihan Fattah dibuat kerana ini adalah filem pertama dia dan saya tahu dia mampu membawa watak serius.

“Tidak boleh dipertikaikan lagi pemilihan Rosyam Nor, kredibiliti lakonan dan pengalaman beliau dalam filem aksi sebegini. Filem ini telah mengambil masa lebih 70 hari proses penggambaran,” ujarnya lagi.

Hampir semua filem keluaran Skop Productions meraih kutipan pecah panggung. Namun begitu buat Syafiq apabila berbicara mengenai kutipan filem, “Saya berserah pada rezeki setelah segala usaha untuk menghasilkan filem KL Special Force. Kami tenaga produksi telah melakukan yang terbaik dan berharap ia diterima ramai.”

Rosyam Nor dalam dua babak mencemaskan di KL Special Force.

SINOPSIS:

KL SPECIAL FORCE berkisar tentang sekumpulan unit khas PDRM diketuai oleh Roslan yang berusaha untuk menjatuhkan sekumpulan perompak yang diketuai oleh Asyraf. Kumpulan perompak yang dikenali sebagai “Geng Anarkis” melaksanakan pelan rompakan dengan begitu licik dan pelbagai taktik untuk mengelirukan pihak polis.

Seorang anggota polis muda bernama Zul yang berjiwa besar diserapkan dalam unit khas PDRM untuk membantu Roslan menyelesaikan kes berkenaan, tetapi situasi menjadi bertambah rumit apabila ketua perompak iaitu Asyraf mula memanipulasi perasaan, minda dan syak wasangka di antara Roslan dan Zul.

Taktik Asyraf menimbulkan stigma dan pergolakan diantara anggota di dalam unit khas tersebut. Dalam pada masa yang sama, Roslan mengalami masalah keseimbangan masa untuk kerja dan keluarga dan sering bertengkar dengan isterinya yang bernama Diana.

Zul juga mempunyai masalah yang sama dengan tunangnya Mia yang merupakan anak kepada Pengerusi Bank Damofa iaitu Datuk Mior.

Sebuah rahsia bakal terbongkar apabila Geng Anarkis hanya merompak bank kepunyaan Datuk Mior. Apakah rahsia tersebut? Bagaimanakah pihak polis mahu menumpaskan Geng Anarkis?  

Pengarah muda berjaya, Syafiq Yusof (enam dari kiri) bersama barisan pelakon utama KL Special Forse semasa tayangan perdana pada Isnin malam. FOTO: IZWAN ZAINAL.