Nabila Razali Trending Gara-gara Aedy Ashraf

Gosip panas antara penyanyi Nabila Razali dengan pelakon Aedy Ashraf kerana muzik video Pematah Hati

 

BENAR-benar bercinta atau gimik, tetapi hakikatnya ramai yang menyukai muzik video lagu Pematah Hati nyanyian Nabila Razali, 25, gara-gara gandingan dengan pelakon muda kacak, Aedy Ashraf.

Hasilnya, Pematah Hati mendapat 500,000 tontonan di Youtube hanya selepas 24 jam ia dilancarkan minggu lalu. Lebih membanggakan, muzik video itu sehingga kini selesa berada di tangga ke #3 carta Trending Youtube Malaysia.

Mengulas mengenai kejayaan itu, Nabila berkata, “Saya tidak menyangka penerimaan baik terhadap muzik video itu daripada peminat dan ia kejayaan manis buat diri saya sepanjang bergelar penyanyi.

“Saya juga terharu dengan komen-komen positif mengenai hasil muzik video itu yang disifatkan ramai bertaraf antarabangsa.

“Harapan saya moga angka tontonan muzik video itu akan terus meningkat hingga mencecah lebih sejuta kali tontotan,” katanya.  Pematah Hati adalah ciptaan sepenuhnya oleh penyanyi lagu Jampi, Hael Husaini dan Ezra Kong.

Dalam pada itu, Nabila berkata, muzik video Pematah Hati adalah arahan dua pemuda berasal dari Romania yang menggelarkan diri mereka sebagai Storytellrs.

Nabila Razali memulakan langkah seni menerusi Akademi Fantasia 2013

Cerita Nabila, dia dan pihak pengurusannya bertemu dengan Storytellrs yang kebetulan sedang menggembara di Malaysia sebelum mereka bersetuju bekerjasama menghasilkan muzik video tersebut.

Jelasnya, konsep muzik video berkenaan adalah idea daripada mereka sendiri yang berjaya memberi sentuhan bertaraf antarabangsa dan ia disiapkan hanya dalam tempoh dua minggu.

Ia menjalani penggambaran di beberapa lokasi di ibu negara termasuk di Blues and Bees, The Bee dan Living Space.

Selain Youtube, Pematah Hati juga boleh dimuat turun menerusi platform digital seperti Spotify, iTunes, Apple Music, Joox, Kkbox dan Deezer.