NABIL Akui Populariti Tak Bertahan Lama

Nabil Ahmad bersiap-sedia menjadi orang penting di belakang tabir menghasilkan produk-produk berkualiti. FOTO: HELMI WONG

“SELAMA sepuluh tahun ini dah macam-macam saya rasa dan kecapi. Populariti pernah naik mendadak dan turun pun sama lajunya.

“Jadi, tidak mustahil populariti yang sekarang saya nikmati lambat laun akan berlalu pergi. Jadi, apa persediaan saya agar nama terus stabil dalam industri seni?

“Saya mengambil inspirasi daripada beberapa idola seperti Datuk Rosyam Nor dan Faizal Hussein… mereka sudah lebih 20 tahun berada dalam seni tetapi sampai hari ini mereka masih wujud selain masih diperlukan banyak pihak produksi.

“Itu yang saya sematkan dalam diri, saya perlu bersedia dengan beralih pada bidang baharu selain sebagai pelawak dan pengacara TV,” jelas Haji Nabil Ahmad kepada Mangga Media.

Beliau ditemui selepas majlis pratonton filem televisyen pertama terbitan dan arahan bersama berjudul The Hantus di ibu kota pada Rabu. Menjadi pengarah bersama Helmi Yusof di samping bertindak sebagai penulis skrip.

The Hantus ditawarkan pakej di saluran Astro First Eksklusif bermula 15 Jun ini sempena Hari Raya Aidilfitri.

Bersama barisan pelakon dan produksi The Hantus, filem televisyen pertama terbitan syarikatnya, KMN Productions.

The Hantus merupakan sebuah cerita komedi seram serta romantik yang tercetus antara dua kehidupan, realiti dan alam barzakh.

Setiap barisan karakter yang dizahirkan mempunyai peranan masing-masing dan saling memerlukan. Watak-watak yang diberikan berjaya digalas dengan baik oleh setiap pelakon.

The Hantus dibarisi pelakon hebat, Alif Satar, Faizal Hussein, Khatijah Tan, Hannah Delisha serta dibantu pelakon-pelakon undangan lain.

FTV ini diinspirasikan dari kisah-kisah hantu seram popular dan viral termasuklah Volkswagen Kuning, Hantu Kak Limah dan Kisah Seram Misteri Taman Mimaland.

Untuk menampilkan kelainan dan memastikan hasil akhir dizahirkan dengan penuh berkualiti, The Hantus turut menggunakan khidmat lebih 120 orang pelakon tambahan bagi membantu menghidupkan babak-babak berkaitan.

“Saya mengharapkan The Hantus menjadi sebuah naskhah yang boleh membuat semua penonton terhibur dan sentiasa mendoakan saya serta pasukan produksi terus berkarya di dalam menghasilkan kandungan cerita hebat serta bermutu tinggi di masa-masa akan datang,” ungkap Nabil yang membangunkan KMN Production bersama rakan kongsi, Datuk Khairul Muzammil.