Munafik 2, Definisi Takut Yang Baharu?

Syamsul Yusof selaku pengarah dan pemegang watak utama Ustaz Adam dalam salah satu babak seram Munafik 2.

ADA satu tweet yang dibaca Mangga Media mengatakan filem sekuel Munafik 2 arahan Pengarah Terbaik Festival Filem Asia, Syamsul Yusof bakal memberi definisi takut yang baharu.

Bertubi-tubi diasak dengan mainan emosi dan rasa seram yang tak menentu di samping plot twist bijak yang tak mampu dijangka.

Filem arahan ke-10 Syamsul serta terbitan ke-40 Skop Productions ini bermula di seluruh pawagam tempatan pada Khamis, 30 Ogos ini.

“Di dalam Al Quran, antara golongan yang paling teruk dikeji Allah ialah ulama yang tidak amanah dan mengharapkan habuan dunia.

“Golongan inilah yang bakal ditentang Ustaz Adam (lakonan Syamsul Yusof) di dalam Munafik 2,” ujar pengarah berkaliber ini dalam satu kenyataan kepada Mangga Media.

Tentunya, apabila Munafik 2 ditayangkan nanti, persoalan yang bakal ditanya khalayak, apakah mampu memadamkan rekod baru dicipta Hantu Kak Limah yang diangkat sebagai filem tempatan paling berjaya dalam sejarah perfileman buat masa ini apabila mencacat jumlah kutipan sebanyak 20.5 juta dalam masa 11 hari tayangan.

Malahan, sejarah lain turut dicipta filem arahan Mamat Khalid itu apabila mencatat jumlah kutipan menjadi 27.5 juta setelah 15 hari ditayangkan di pawagam. 

Munafik edisi pertama dua tahun lepas mencatat kutipan tiket sekitar 19 juta.

‘Perjuangan yang tiada noktah’ begitulah kata-kata semangat yang pernah dilontarkan oleh Syamsul semasa beliau ‘bangkit’ semula menghasilkan filem Munafik pada 2016.

Mengimbas kembali buat seketika tentang filem Munafik, berkat doa dan semangat gigih Syamsul, ternyata telah mengukir kejayaan besar dalam lipatan sejarah kerjaya beliau sebagai seorang pengarah dan pengkarya apabila dinobatkan sebagai Pengarah Terbaik di Festival Filem Malaysia Ke-28 buat kali ketiga di samping berjaya memenangi Filem Terbaik Nasional.

Dalam dalam tahun yang sama juga beliau sekali lagi berjaya merangkul anugerah Pengarah Filem Terbaik menerusi Anugerah Skrin 2016.

Maya Karin sebagai Sakinah, karakter baharu Munafik 2 selepas ketiadaan watak Maria lakonan Nabila Huda. 

Kejayaan yang paling tidak dapat dilupakan apabila beliau berjaya menempa sejarah besar dengan memenangi Pengarah Filem Terbaik di 57th Asia Pacific Film Festival 2017. Segalanya bagaikan mimpi, namun ini yang dinamakan rezeki.

Dalam Munafik 2, Syamsul sekali lagi mengekalkan genre seram dan penuh dengan perisian Islamik.

“Sebagai seorang pengarah kerdil dalam industri perfileman tanahair, saya sentiasa berdoa agar bakat yang dianugerahi Tuhan ini mampu mendorong diri untuk memberi persembahan terbaik bagi Munafik 2.

“Ini janji saya kepada para penggemar setia filem tempatan. Tapi yang paling saya titikberatkan adalah semua usaha ini demi memartabatkan industri perfileman tanahair,” ujarnya.

Selain Syamsul selaku pengarah dan pelakon utama, Munafik 2 membawa masuk karakter-karakter baharu daripada barisan selebriti ternama antaranya, Maya Karin, Mawi, Fauzi Nawawi, Nasir Bilal Khan serta pelakon Indonesia, Weni Panca Apriyantina.

Juga masih mengekalkan pelakon filem edisi terdahulu, Datuk Rahim Razali dan Datuk Fizz Fairuz.

Kos Produksi menelan belanja sebanyak RM2.9 juta. Penggambaran selama 72 hari bermula awal Mac tahun lepas di beberapa lokasi di Selangor, Pahang dan Perak.

Munafik 2 lebih menarik dengan memasukkan karakter baharu lakonan Mawi serta Nasir Bilal Khan.

SINOPSIS:

Selepas tragedi hitam yang melanda Ustaz Adam, lautan kehidupannya kembali tenang. Dia mula menjadi pendakwah bebas dan meneruskan tanggungjawab membantu golongan yang terkena gangguan sihir/jin di serata tempat.

Ujian yang menimpa sebelum ini telah mengajarnya untuk lebih tawadhu pada Ilahi. Namun apa yang mengelirukan, Adam sentiasa dihantui dengan imbasan-imbasan silam tentang kematian Maria, kenapa?

Adam juga sering didatangi seorang wanita misteri yang mempersoalkan tentang keimanan dan takdir Tuhan. Dalam masa yang sama, di seberang kampung tinggal seorang wanita bernama Sakinah anak lelakinya Aman.

Sakinah terpaksa menjaga anaknya yang mengidap penyakit misteri. Kehidupan Sakinah yang daif memberi tekanan padanya ditambah pula dia dan anaknya beberapa kali diganggu syaitan.

Sakinah percaya apa yang dihadapinya berpunca dari Abu Jar, seorang munafik dan ketua ajaran sesat di kampung yang sama.

Abu Jar mempunyai pengikut yang ramai dan digeruni penduduk kampung. Sakinah atau sesiapa sahaja yang masih berpegang pada Islam adalah musuh Abu Jar.

Abu Jar menggunakan sihir/jin untuk menghancurkan sesiapa yang tidak mengikut ajarannya. Ini memaksa Sakinah untuk mencari Ustaz Adam.

Kedatangan Ustaz Adam ke kampung seberang telah menimbulkan kemarahan Abu Jar. Adam bukan sahaja terkejut dengan apa sebenarnya berlaku pada keluarga Sakinah tetapi juga dengan ajaran sesat Abu Jar yang memesongkan akidah orang Islam di kampung itu.

Bermulalah perjuangan Adam di jalan Allah sekali lagi. Mampukah Adam menepis ‘talbis iblis’ yang bakal diharunginya kali ini? Apakah rahsia di sebalik imbasan kematian Maria di fikiran Adam?

Siapa sebenarnya Sakinah di sisi Abu Jar? Adakah Sakinah terus kuat berpegang pada Islam walau diugut Abu Jar?

Nantikan, pertarungan antara hak dan batil yang mampu menggegarkan jiwa. Berjayakah Ustaz Adam melawan orang-orang munafik yang menentang Allah dan Rasulnya? Kerana Adam hanyalah insan biasa.