Mual Tengok Daging, ATIKAH SUHAIME Jadi Vegetarian

Atikah Suhaime baru selesai penggambaran dua filem Indonesia. FOTO: ZULFAIZ ZAKARIA

SECARA tiba-tiba tekak pelakon Atikah Suhaime, 27, akan berasa loya setiap kali melihat semua jenis daging, tak kiralah daging lembu, ayam mahupun kambing.

“Saya takut nak cakap begini, nanti orang kata over pula… Tapi kadang-kanag rasa jijik tengok semua jenis daging… lebih sedap kata rasa mual lah… tak boleh nak makan daging langsung.

“Ia berlaku sejak dua tahun lalu, tak tahu mengapa. Sebelum ini, semua jenis makanan saya bedal. Namun, kini saya lebih memilih sayur-sayuran dan menjadi vegetarian.

“Saya ini suka makan nasi. Tak kisahlah asalkan ada nasi dengan sayur, tempe, tauhu serta sambal yang pedas gila, saya boleh hidup!

“Tak susah pun jadi vegetarian ini. Saya juga suka sambal tumis petai dan jering! Saya kan anak jawa campur Pakistan,” kata Atikah dalam satu temubual bersama Mangga Media di studio Bandar Baru Bangi, Selangor pada Isnin, 9 Julai.

Beliau juga selesai penggambaran dua filem Indonesia, Antalogi Rasa arahan Rizal Mantovani serta filem My Stupid Boss 2 bergandingan dengan Reza Rahadian.

Drama popularnya yang telah ditayangkan ialah Pengantin Musim Salju bersama Alif Satar dan Siti Nordiana.

Esok pula, drama terbaharunya, Cinta Tiada Ganti, sebanyak  100 episod yang merupakan adatasi drama popular Filipina, Sanay Wala Nang Wakas yang pernah meledakkan nama Jericho Rosales, Kristine Hermosa serta Angelika Dela Cruz.

Atikah merupakan tunang kepada penyanyi dan komposer popular, Awi Rafael. Pasangan asal Singapura ini dijangka mengadakan resepsi perkahwinan awal tahun depan.