Mimpi Jadi Kenyataan- Baim Wong Lega Bakal Jadi Suami Paula

Baim Wong dan Paula Verhoeven semasa majlis pertunangan yang diadakan di Balemong Resort, Semarang, Jawa Tengah pada 21 Julai.

SETELAH sering berganti teman wanita, akhirnya aktor terkenal Indonesia, Baim Wong atau Muhammad Ibrahim Wong, 37, bakal melangkah fasa perkahwinan tidak lama lagi apabila selamat bergelar tunangan kepada model cantik, Paula Verhoeven, 31.

Majlis pertunangan berlangsung di Balemong Resort, berdekatan Semarang, Jawa Tengah, kawasan kediaman keluarga Paula pada Sabtu petang, 21 Julai.

Selesai bertunang, Baim dan Paula memuatnaik beberapa gambar momen indah mereka sambil menunjuk cincin pertunangan.

“Impianku sudah mendekati kenyataan. Cinta Allah. Lega rasanya semua perancangan berjalan lancar. Hanya tinggal selangkah lagi untuk kami disatukan sebagai suami-isteri.

“Setelah sekian lama mencari, akhirnya ketemu cinta sejati,” ungkap Baim. Majlis pertunangan hanya dihadiri keluarga serta sahabat handai terdekat.

Baim dan pelakon filem Supernova itu hanya berkenalan secara serius dan menjalin hubungan cinta selama tiga bulan sebelum Baim memutuskan untuk melamar.

Lamaran terhadap Paula dilakukan di sebuah pantai di Bali, 10 Julai lalu.

“Saya sudah bersedia menjadi suami. Buat apa tunggu lama-lama lagi,” kata Baim dalam satu kenyataannya sebelum ini.

Baim sebelum ini pernah digosipkan bercinta dengan Elfira Loy namun mereka menafikannya dengan mengatakan sekadar kawan baik.

Baim Wong lega akhirnya bertemu cinta sejati.

Pelakon sinetron popular Benci Bilang Cinta dan Pashmina Aishah itu juga pernah melalui hubungan cinta tidak kesampaian dengan beberapa selebriti popular lain antaranya, Marshanda, Yasmine Wildblood dan Vebby Palwinta.

Tahniah buat Baim dan Paula daripada Mangga Media.

Bersama ibu bapa Paula (kiri) serta Baim.