“Mesti Ada Alasan Menyukai Saya”- AQASHA

Aqasha mahu kembangkan kembali karier nyanyian dengan menyertai Gegar Vaganza musim 4. FOTO: NOOREEZA HASHIM

 

“SELEPAS ini lagi kecoh lah you…” Penyanyi dan pelakon Aqasha atau Firdee Akassya Rosli, 35, berkongsi kata-kata isterinya itu kepada Mangga Media semasa ditemui di The Garden Theatre, Bangsar, Kuala Lumpur.

Kata-kata isterinya, Noor Baizura Mohd Sabri itu setelah Aqasha terpilih menyertai program pertandingan Gegar Vaganza musim keempat (GV4) yang bakal bermula Ahad depan, 29 Oktober.

“Rasanya dalam kata-katanya itu macam bagi hint selepas ini saya bakal sibuk di luar. Rasa macam perli ada juga agaknya itu. Tetapi dia menyokong apa sahaja perkara saya lakukan.

“Saya tak anggap kata-katanya itu sebagai cemburu. Maksudnya saya akan menjadi lebih sibuk dan mesti ‘hot’ dengan macam-macam cerita apabila menyertai GV4.

“Namun, saya tak nafikan cemburu itu mestilah ada. Satu perkara saya puji ialah sifat kepimpinan isteri yang tidak akan cemburu buta.

“Dia dan saya faham banyak benda sekarang dikongsikan dengan adanya media sosial.

“Tetapi saya bersyukur walau apapun ujian dan cabaran, hubungan dengan isteri baik-baik sahaja,” jelas Aqasha yang baru-baru ini terpalit kontroversi dengan seorang aktres terkenal gara-gara gosip ‘cinta lokasi’.

Di usia 35 tahun dan bapa kepada dua anak, Aqasha masih digilai ramai peminat wanita

Di usia 35 tahun dan merupakan bapa kepada sepasang cahayamata, Aqasha ternyata masih digilai ramai peminat wanita.

Bintang filem Embun dan Man Laksa ini bagaimanapun punya pandangan tersendiri apabila diminta komen dirinya masih dikejar dan digilai kaum hawa.

“Saya selalu akan bertanya, menyukai dan meminati saya kerana apa? Dalam kematangan peminat era sekarang, saya tak fikir mereka akan jawab meminati saya kerana wajah handsome.

“Saya yakin para peminat sudah cukup bijak untuk mengatakan mereka meminati dan menyukai saya kerana karakter yang dibawakan dalam drama.

“Malahan saya lebih suka andai peminat menyukai saya kerana keberkesanan lakonan.  Sudah 17 tahun saya berada dalam dunia seni, jadi saya yakin para peminat semakin bijak dan matang,” ungkap Aqasha.

Dalam karier nyanyian, pernah merakam dua album bersama syarikat rakaman Suria Records. Lagu single terakhirnya, Obsesiku pada 2010.

Dalam GV4, Aqasha bakal berentap dengan Aishah, Liza Hanim, Elyana, Lan Kristal, Syura, Haida, Hazami, Tia Jinbara, Raja Azura serta Firman Siagia dari Indonesia dan Ferhad (Singapura).

Persembahan konsert minggu pertama GV4 bakal bermula Ahad ini, 29 Oktober, disiarkan secara langsung di Astro Ria dari Dewan Sri Putra, Bukit Jalil, pukul 9.00 malam.

Barisan 12 bintang Gegar Vaganza 4 yang bakal memulakan persembahan konsert minggu pertama di Dewan Sri Putra, Bukit Jalil, Ahad 29 Oktober