Mengenal Cinta, Mengejar Bahagia, Mencari Si Dia

 

PENUH dengan kisah cinta dan konflik, drama bersiri DIA bakal memulakan tayangan di TV3 setiap Jumaat hingga Ahad bermula 14 Oktober ini, pukul 9.00 malam.

Majlis pelancaran siri terbitan OrangeTree Productions itu telah berlangsung di sebuah pusat membeli-belah di Damansara, Petaling Jaya, baru-baru ini, yang turut dihadiri para pelakon utama, antaranya Irwansyah, Janna Nick, Izara Aishah, Adi Putra serta pelakon cilik dari Indonesia, Sandrinna Michelle Skornicki.

Siri 60 episod ini menyaksikan gandingan harmoni kru produksi dari Malaysia dan Indonesia di mana 30 peratus penggambaran dilakukan di Jakarta.

Ia mendapat sentuhan pengarah tempatan, Eoon Suhaini manakala penggambaran di negara jiran dikendalikan sutradara, Omar Olly Alaydrus dari Limelight Pictures.

SINOPSIS:

DIA berkisar tentang Adit (lakonan Irwansyah) yang telah dijodohkan dengan Imelda (Izara Aishah), walaupun dia sebenarnya amat mencintai Aira (Janna Nick). Oleh kerana patah hati, Aira telah membawa diri ke tempat lain dan bekerja sebagai seorang penulis.

Adit berusaha menjaga dan memberi kasih sayang kepada Emelda namun jodoh mereka tiak bertahan lama apabila isterinya itu meninggal dunia selepas melahirkan anak mereka, Icha Aulia (Sandrinna Michelle).

Konflik bertambah apabila Adit bertemu semula wanita yang pernah dicintainya.  Walau bagaimananapun Aira kini rapat dengan Zaid (Adi Putra).

Pelbagai rintangan dan dugaan harus dilalui Adit. Adakah dia cukup tabah untuk mengharungi kesemua ujian yang menimpa hidupnya?

Apakah kesudahannya?

 

Pelakon utama drama bersiri DIA, Izara Aishah (kiri), Janna Nick, Sandrinna Michelle, Irwansyah dan Adi Putra sewaktu majlis pelancaran siri tersebut di ibu kota, baru-baru ini