Mencari Qiblat… berjayakah ADAM kembali ke pangkal jalan?

Elly Mazlein dan Aeril Zafrel, bintang dalam Mencari Qiblat.

MENAMPILKAN Aeril Zafrel sebagai teraju utama, drama Mencari Qiblat yang bertemakan kerohanian, mengetengahkan cerita berbeza pada setiap episod. Adam anak tunggal dalam keluarganya, sudah biasa hidup dengan penuh kemewahan.

Dek lalai dan alpa dengan kemewahan di depan mata, serta amalan hidup yang sentiasa berfoya-foya menjadikan Adam tidak peduli dengan hukum-hakam agama. Dari hari ke hari tidak ada siapa menyedarkan kehidupan seharian dilalui, Adam semakin tersasar jauh sehingga hilang pedoman hidup.

Kemalangan jalan raya telah meragut nyawa ibu dan ayah Adam. Kehilangan kedua orang tua membuatkan Adam membuka mata dan kerana itu sedikit demi sedikit memberi kesedaran kepada Adam yang kehidupan duniawi ini hanyalah sementara. Kematian ayah dan ibunya seperti satu pukulan buat Adam sehingga terasa hidupnya dalam kegelapan. Sejak itu, Adam cuba kembali ke pangkal jalan dan memahami erti sebenar kehidupan. Mampukah Adam mencari qiblat hidupnya?

Segalanya terjawab dalam Mencari Qiblat, slot Zehra yang disiarkan TV3 setiap Rabu dan Khamis pukul 9.00 hingga 10.00 malam bermula 25 Oktober. Mencari Qiblat arahan Rashid Sibir dari produksi Rashbir Media Sdn. Bhd. Antara yang membintangi drama ini, Aeril Zafrel, Elly Mazlein, Fahrin Ahmad, Didie Alias, Arash Mohd, Datuk Rahim Razali dan Fauziah Nawi.

Setiap drama bersiri ini dapat juga disaksikan di portal video www.tonton.com.my. Untuk mengetahui lebih lanjut, anda boleh layari laman web www.xtra.com.my.