Marlina Si Pembunuh Dalam Empat Babak

Marsha Timothy sebagai Marlina.

TANPA ramai wajah popular kecuali pemegang watak utamanya, Marsha Timothy sebagai Marlina, filem berjudul Marlina Si Pembunuh Dalam Empat Babak (Marlina The Murderer In Four Acts) berjaya dalam kelas tersendiri.

Marlina, mendapat sentuhan sutradara wanita yang semakin sukses membina  jenama di peringkat antarabangsa, Mouly Surya dengan ilham jalan cerita asal daripada sutradara tersohor republik Indonesia, Garin Nugroho.

Filem yang berlatarbelakang sebuah pulau yang indah di Indonesia iaitu Pulau Sumba, membawa cerita tentang seorang wanita yang berstatus ibu tunggal bernama Marlina.

Ia bermula apabila rumahnya telah diceroboh oleh sekumpulan pencuri. Demi menyelamatkan nyawanya, dia bertekad membunuh beberapa lelaki di dalam kumpulan rompakan itu.

Bermulanya perjalanan kisah dirinya untuk menuntut keadilan dengan membawa kepala si mati.

Pelakon utamanya, Marsha Tmothy memenangi anugerah Pelakon Wanita Terbaik semasa Maya Awards tahun lalu. Beliau merupakan isteri kepada aktor, Vino G Bastian.

Anak kelahiran Jakarta ini, Mouly Surya dienali sebagai antara pengarah muda wanita yang berbakat di Indonesia.

Marlina Si Pembunuh Dalam Empat Babak merupakan kolaborasi bersama penerbit antarabangsa, termasuk rakan kerjasama daripada Perancis, Malaysia dan Thailand.

Pernah ditayangkan pada tahun 2015 sempena Asian Project Market di Festival Filem Antarabangsa Busan dan pada tahun 2016 di Cinefondation L’Atelier di Cannes.

Menarik tentang filem ini juga terletak pada muziknya yang menggambarkan alam semulajadi digubah oleh Zeke Khaseli dan Yudhi Arfani, hasil tulisan skrip oleh Garin Nugroho selain diindahkan visualnya oleh Yunus Pasolang sebagai pengarah fotografi.

MARLINA adalah filem antarabangsa kempat di mana Astro Shaw terlibat sebagai penerbit bersama termasuk filem Apichatpong Weeraseethakul, Cemetery of Splendour yang juga pernah ditayangkan di Festival Filem Antarabangsa Cannes 2015.

MARLINA akan memulakan tayangan di 5 buah pawagam eksklusif di GSC Mid Valley Mega Mall, Pavillion Kuala Lumpur, 1 Utama Shopping Centre, Gurney Plaza dan Paradigm Mall Johor Bharu bermula 8 Mac ini.

Majlis tayangan perdana filem ini telah diadakan bersama media Malaysia di Mid Valley, Kuala Lumpur pada Selasa malam.

Lokasi penggambaran banyak dilakukan di Pulau Sumba, Indonesia.

 

Barisan Pelakon Marlina Si Pembunuh Dalam Empat Babak:

Marsha Timothy- Sebagai Marlina

Dea Panendra – Novi

Egi Fedly – Markus

Yoga Pratama – Franz

Rita Matu Mona – Yohana

Yayu Unru – Raja

Anggun Priambodo – Ian

Ayez Kassar – Paulus

Safira Ahmad-  Topan

Indra Birowo – Umbu

Ozzol Ramdan –  Roni

Haydar Salishz          – Niko

Norman R. Akyuwen – Bing