MANGGA MEDIA & UTUSAN Terima Anugerah Media MBPJ

Para media yang menerima Anugerah Media MBPJ bergambar kenangan bersama Datuk Bandar Petaling Jaya, Datuk Mohd. Azizi Mohd. Zain (tengah)

Alhamdulillah… Utusan Malaysia memenangi dua anugerah pada Majlis Apresiasi Media anjuran Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) di Dewan Sivik MBPJ, Petaling Jaya petang tadi.

Mohd. Fadhil Abdollah atau lebih dikenali sebagai Deel Anjer dari Mangga Media (Utusan Karya) memenangi Anugerah Penghargaan Liputan Berita Media Hiburan, sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM1,000 beserta sijil dan plak penghargaan.

Wartawan Utusan Malaysia, Nik Hafizul Baharuddin pula menang hadiah saguhati Anugerah Media Elektronik dan Digital dan membawa pulang wang tunai RM500 beserta sijil.

Deel Anjer dari portal Mangga Media (kanan) dan Nik Hafizul (Utusan Malaysia) antara penerima Anugerah Media MBPJ

Anugerah disampaikan oleh Datuk Bandar Petaling Jaya, Datuk Mohd. Azizi Mohd. Zain dalam majlis yang diadakan di Dewan Sivik MBPJ.

Anugerah Media MBPJ diberikan kepada wartawan dan jurufoto dalam liputan berita dan artikel bagi kategori Anugerah Media Cetak Terbaik, Anugerah Media Elektronik dan Digital Terbaik serta Anugerah Penghargaan Liputan Berita Media Hiburan, Radio dan Fotografi.

Mohd Ridzuan dari Harian Metro (kiri) dan Ria dari Melodi (kanan) bersama penyanyi lagu Kali Pertama, Salimey. 

Penganugerahan dipilih berdasarkan kualiti dan impak positif laporan berita, editorial, advertorial, rangkuman isu serta gambar-gambar pelbagai aktiviti anjuran MBPJ.

Sementara itu, Mohd. Azizi berkata, majlis itu bertujuan merapatkan hubungan selain menghargai dan mengiktiraf pengamal media yang banyak memberikan sokongan kepada pihaknya dalam setiap berita yang dilaporkan.

“Saya berharap dengan jalinan kerjasama yang erat ini, rakan media akan saling berinteraksi dalam menyebar luas maklumat kepada orang ramai khususnya penduduk Petaling Jaya.

“Sebaran maklumat yang tepat dan jelas dapat meningkatkan lagi kefahaman warga Petaling Jaya terhadap perkhidmatan perbandaran MBPJ selaras dengan kehendak dan ekspektasi mereka,” katanya ketika berucap menyempurnakan majlis yang dihadiri kira-kira 100 pengamal media.

Yang hadir sama Timbalan Datuk Bandar Petaling Jaya, Johary Anuar.

Team NSTP bersama anugerah masing-masing.

Selain Mangga Media, rancangan hiburan televisyen popular Melodi (TV3) dan akhbar Harian Metro turut menerima Anugerah Penghargaan Liputan Berita Media Hiburan.

Semoga MBPJ terus maju dan memberikan yang terbaik buat masyarakat setempat. Tahniah!

Foto: Faisol Mustafa
Sumber: Utusan Online