MANDATORI: Novel Crime Thriller Terlaris Ramlee Awang Murshid Dalam Bentuk Visual

SELEPAS filem Tombiruo: Penunggu Rimba yang berjaya mencatatkan kutipan pecah panggung melebihi RM8 juta baru-baru ini, sebuah lagi adaptasi karya agung milik Novelis Thriller Nombor Satu Malaysia, Ramlee Awang Murshid iaitu Mandatori, akan menemui penonton menerusi saluran Astro First Eksklusif saluran 480 dan platform digital ‘on demand’ mulai 14 Disember ini.

Tampil dengan pendekatan yang ‘luar dari kebiasaan’, Mandatori sarat dengan aksi mendebarkan, pergelutan, drama, khianat dan dendam kesumat

Astro dengan kerjasama Ideate Media (penerbit bersama ‘Tombiruo’) kini mengadaptasikan salah satu novel terkemuka milik penulis prolifik, Ramlee Awang Murshid berjudul Mandatori’ke bentuk visual untuk tontonan masyarakat umum.

Mandatori diarahkan oleh sutradara hebat, Razaisyam Rashid. Beliau yang sebelum ini terkenal dengan filem CEO pernah dinobatkan sebagai Pengarah Terbaik Drama di Anugerah Skrin 2016.

Lokasi utama penggambaran Mandatori telah dijalankan di sekitar Lembah Klang serta mengambil masa 35 hari untuk diselesaikan.

Dengan hanya RM 19.10 (termasuk 6% GST), penonton boleh menikmati kesemua enam (6) episod dengan berulang kali dalam tempoh 5 hari dari waktu pembelian.

Mandatori mengisahkan tentang seorang ‘profiler’ jenayah, Inspektor Norman (lakonan Aeril Zafrel) yang menyiasat kes pembunuhan bersiri yang dilihat berkait rapat di antara satu sama lain.

Ia membuka kembali kes-kes jenayah yang berlaku beberapa tahun lalu dan lebih merumitkan apabila setiap siasatan yang dijalankan Norman akan membawa beliau kepada sebuah lagi kes pembunuhan baru.

Norman semakin keliru kerana seorang demi seorang yang beliau kenal mati dibunuh dengan kejam dan pembunuh itu akan meninggalkan petunjuk yang sama iaitu patung mainan ‘Inspektor Carlos’ dan kertas tulisan ‘Case Closed’ yang mana ada ketikanya dijumpai dalam bahagian badan si mati.

Dalam kesibukan Norman menjalankan penyiasatan dengan rakan setugas beliau, Detektif Chief Inspektor Kelvin Chan (lakonan Alvin Wong), beliau berkenalan dengan Juliana Johari (lakonan Siti Saleha) yang merupakan anak kepada salah seorang ahli perniagaan berjaya dan pemilik Johari Corp, Tuan Johari (lakonan Dato’ A. Tamimi Siregar) dan keluarga ini merupakan suspek utama kepada beberapa kes jenayah yang berlaku.

Juliana yang pada mulanya tidak begitu menyukai kehadiran Norman mula berubah apabila risau akan tindak-tanduk adiknya, Johan Johari (lakonan Iedil Putra) yang dilihat semakin mencurigakan terutamanya apabila melibatkan kehilangan wang syarikat yang sangat ketara.

Juliana mula menyiasat dan beliau memerlukan bantuan Norman untuk menyelesaikan masalahnya. Keakraban yang tercetus ini membuatkan mereka jatuh cinta.

Namun pelbagai dugaan dan ancaman yang hadir dari setiap penjuru menyukarkan lagi keadaan. Apakah yang akan terjadi seterusnya? Adakah Juliana akan menjadi mangsa yang seterusnya?

Siapakah yang sebenarnya dalang di sebalik kes-kes pembunuhan bersiri yang berlaku?

 

Barisan pelakon Mandatori semasa sidang media baru-baru ini, dari kiri: Amerul Affendi, Chew Kit Wah, Iedil Putra, Aeril Zafrel, Alvin Wong, Siti Saleha dan Datuk A. Tamimi Siregar

SENARAI PELAKON:

-Aeril Zafrel sebagai Inspektor Norman Abdullah

-Alvin Wong / Detektif Chief Inspektor Kelvin Chan

-Siti Saleha / Juliana Zahara Johari (CEO, Johari Corp)

– Putra / Johan Bahar Johari (Bekas CEO, Johari Corp)

-Datuk A. Tamimi Siregar / Tuan Johari Saidin (Presiden, Johari Corp)

-Chew Kin Wah / Kapten David Chong (Kapten Polis Banda Raya)

-Jo Kukathas /  Doktor Devi Subash (Pemeriksa Forensik Polis Banda Raya)

-Meor Hashim Manap / Tuan Haji Salleh Deraman

-Vanidah Imran / Doktor Asmah (Pakar Psikiatri yang merawat Inspektor Norman)

-Susan Lankaster / Madam Agnes Lim

-Amerul Affendi /  ‘The Handler’