MAMEE Tidak Lupa Jasa Artis

Pengurus Hal Ehwal Islam dan Hubungan Kerajaan di Mamee Double Dacker Group, Ahmad Syukry Ibrahim

Kalau dulu, bila makan Mamee pasti akan teringat artis-artis atau selebriti popular seperti Zizan razak,  Awal Ashaari, Nora Danish, Mawi , Datuk Aznil Haji Nawawi, Datuk Chef Ismail  dan bekas-bekas pelajar Akademi Fantasia. Merekalah antara duta yang menjadi pemangkin rapatnya hubungan produk Mamee dan masyarakat.

Mamee keluaran syarikat Mamee Double-Decker antara produk makanan yang masih diminati ramai dan laris di pasaran sejak ditubuhkan pada tahun 1971.

Menurut Pengurus Hal Ehwal Islam dan Hubungan Kerajaan di Mamee Double Dacker Group, Ahmad Syukry Ibrahim, Mamee tidak pernah melupakan jasa artis dalam menaikkan jenama mereka sehingga ke hari ini.

Syukry menghargai setiap kerjasama artis kepada Mamee selama ini

Cerita Ahmad Syukry yang sudah 16 tahun berkhidmat di syarikat ini, “kami sangat menghargai sumbangan artis-artis yang pernah memberi kerjasama kepada Mamee sehingga produk ini terus disukai ramai dari pelbagai peringkat usia, umur dan tanpa mengira bangsa. Perlantikan mereka sebagai duta amatlah berbaloi dan memberi kesan positif dalam jangka masa panjang.

“Cuma sejak kebelakangan ini kami harus mengurangkan kebergantungan kami kepada  artis kerana menyedari jenama itu sendiri yang perlu ke hadapan.  Kalau dulu Mamee mengharapkan populariti artis, kini kami harus berdiri sendiri.

“Ditambah pula dengan trend bisnes sekarang, produk harus lebih diberi fokus berbanding artis. Untuk itu, kami menyusun strategi dengan menggunakan segala kelebihan yang ada di media sosial untuk mengukuhkan lagi jenama Mamee dan produk-produk lain di bawah syarikat yang sama.

Bila lihat maskot ni, pasti teringat Mamee kan?

“Selain itu, kami juga lebih banyak turun padang sendiri dalam program amal (CSR) sebagai tanggungjawab sosial kami terhadap mereka. Dalam masa yang sama ia juga bertujuan untuk mendekatkan lagi hubungan antara masyarakat dengan Mamee.

“Antara peranan kami adalah menaja atau terlibat sama dalam apa sahaja program amal atau kebajikan tanpa mengira agama, bangsa dan lapisan umur. Ini adalah antara cara kami memberi semula kepada masyarakat yang setia bersama kami.

“Kebiasaannya kami akan ke institusi pengajian tinggi atau sekolah-sekolah  yang terpilih. Selain memperkenalkan lagi produk Mamee, kami juga membuka mata mereka untuk mengintai peluang pekerjaan dalam industri makanan dan sektor halal yang cukup memberangsangkan.

“Program-program sebegini juga sebenarnya membolehkan mereka mengenal lebih dekat apa itu Mamee dan memberi komen positif serta negatif untuk kami perbaiki kelemahan yang ada di masa akan datang.”

Luah Syukry yang menggunakan konsep low budget high impact dalam strategi bisnes mereka. Mereka mengurangkan bajet dengan tidak melantik duta sebaliknya banyak turun padang sendiri.

Dalam masa yang sama Shukri juga menjelaskan peranan media cetak dan elektronik juga sangat penting walaupun trend sekarang adalah media sosial.

Sambungnya, “dari dulu sehingga sekarang, peranan media sangat penting dalam mengukuhkan jenama kami dalam indsutri. Tanpa peranan dan sokongan mereka tak mungkin Mamee boleh berada di tahap sekarang.

“Saya harap, para media akan terus menyokong kami meskipun kami tidak menggunakan khidmat artis lagi sebagai duta.”

Begitulah penjelasan Ahmad Syukry yang berperanan dalam hal berkaitan halal dalam apa sahaja produk keluaran Mamee Double-Decker.

Mamee Daebak antara produk terbaru yang menjadi kegilaan ramai

Beliau berharap media dan seluruh masyarakat terus menyokong produk-produk terbaru mereka seperti mi segera Mamee Daebak  dan black noodles yang bakal dikeluarkan tidak lama lagi.

Antara produk lain di bawah Mamee Double-Decker adalah mi segera Mamee, Corntoz, Mister Potato, Nutrigen, Monster dan banyak lagi.

MANGGA doakan Mamee terus maju dan sentiasa berkihdmat kepada masyarakat. Amin…