Luahan Hati Afgan Tentang Rossa

PENYANYI Afgansyah Reza, 29, meraikan sambutan satu dekad penglibatannya dalam dunia muzik Indonesia, khususnya juga di Malaysia, Singapura dan Brunei.

Pelantun lagu hit Bukan Cinta Biasa, Jodoh Pasti Bertemu, Kunci Hati, Panah Asmara dan Bawalah Pergi Cintaku ini menyatakan seorang wanita  yang begitu memberi pengaruh kuat dalam karier seninya.

“Banyak perubahan terjadi dalam hidup saya seiring penglibatan dalam bidang muzik selama sepuluh tahun.

“Daripada seorang pria pemalu, saya kini lebih terbuka, matang dan lebih enjoy ke depan menikmati perjalanan seni.

“Dalam tempoh itu juga, saya tidak bersendirian. Ada ramai orang yang memberi pengaruh dalam kehidupan saya.

“Ocha (panggilan buat Rossa) merupakan salah seorang daripadanya. Dia banyak berkongsi ilmu, pengalaman dan apa sahaja tentang seni kerana diakan lebih senior.

“Kami saling berkongsi pandangan. Dia juga bersikap terbuka,” luah Afgan mengenai penyanyi asal Sumedang itu.

Hubungan rapat Afgan dengan Datuk Rossa, 40, menimbulkan gosip cinta. Namun sehingga hari ini kedua-duanya tidak menyatakan sebarang pengakuan tentang gosip tersebut.

Datuk Rossa beri pengaruh besar dalam hidup Afgan.

Malahan, timbul juga gosip kononnya mereka telah bernikah senyap-senyap.

Kedua-duanya sering juga berlibur di luar negara namun bukanlah pergi berdua. Turut ditemani teman-teman lain. Afgan dan Rossa mempunyai lagu duet, Kamu Yang Kutunggu.

“Ocha juga mempunyai kualiti vokal bagus yang banyak saya pelajari. Setiap hari kalau dia dapat satu ilmu baharu, pasti dia akan kongsikan dengan saya.

“Dia selalu beri sokongan dalam apa juga perkara saya lakukan. Dia jugalah antara orangnya yang berjaya menghilangkan sikap pemalu saya.

“Selain menyakinkan saya untuk sentiasa percaya diri,” ungkap Afgan lagi yang turut sukses memiliki perniagaan pakaian atas nama Arez serta restoran, Hatchi di Jakarta.