LIZA HANIM Tak Mahu Tertekan Harapan Tinggi Peminat

Liza Hanim mengharapkan peluang baik untuk kembali aktif menyanyi. FOTO: NOOREEZA HASHIM

 

NAMA Liza Hanim, 38, dipanggil paling akhir semasa pengumuman barisan 12 bintang Gegar Vaganza musim keempat (GV4) di The Garden, Bangsar, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Orang kata, save the best for last. Pasti ada keistimewaan tersendiri yang boleh dirasai semua penggemar pelantun lagu hit Siapa Sangka Siapa Menduga, Getaran Cinta Di Jiwa, Ku Idamkan Rindu dan Gelisah Mimpi.

Beliau meraih anugerah Vokal Terbaik di Anugerah Juara Lagu ke-17 menerusi lagu Gelisah Mimpi.

“Sebenarnya tawaran hadir sejak GV1 lagi, sehinggalah GV3. Tetapi waktu itu macam-macam perkara saya harus tumpukan termasuk tempoh berpantang melahirkan anak keempat.

“Tambahan pula saya ada komitmen pada perniagaan. Barulah kali ini saya bersetuju menyertai GV4. Tambahan pula banyak sokongan terutama para peminat yang selalu bertanya bila nak menyanyi lagi?

“Saya anggap GV4 sebagai platform terbaik untuk kembali aktif menyanyi.  Rasa gementar pasti ada sebab dah lama tidak menyanyi dalam bentuk pertandingan di hadapan orang ramai,” kata Liza kepada Mangga Media.

Liza Hanim tidak menafikan rasa gementar bakal berentap dengan idolanya, Aishah

Berada dalam persaingan sihat terutama bersama idolanya, Aishah, ibu kepada empat cahayamata ini tidak mahu terlalu membebankan fikiran.

“Saya tak mahu fikir sangat fasal pertandingan, mahu pun soal menang atau kalah. Takut nanti jadi lebih tertekan.

“Saya sedar, menjadi tumpuan tentunya orang ramai meletakkan harapan tinggi. Itu juga saya tak mahu fikir sangat. Tak mahu terlalu berharap sangat.

“Bagaimanapun, saya pasti melakukan sehabis baik kerana menghargai sokongan banyak pihak yang mahu melihat saya kembali aktif menyanyi.

“Saya harap inilah permulaan meneruskan sesuatu yang baik dalam karier nyanyian,” ujarnya.

Liza Hanim bakal jadi tumpuan ramai di Gegar Vaganza 4

Liza Hanim turut mendapat sokongan suami, Shah salah seorang penyanyi kumpulan Indigo serta anak-anak.

Pemilik nama penuh, Haliza Hanim Abdul Halim lahir pada 19 November, 1979 dan merupakan salah seorang anak didik allahyarham komposer Datuk Adnan Abu Hassan.

Beliau mula dikenali ramai setelah menjadi naib johan bagi pertandingan Golden Teen Search pada 1996. Disifatkan antara penyanyi terbaik Malaysia yang menguasai industri muzik di era 2000-an, sebaris dengan vokalis ternama seperti Datuk Siti Nurhaliza, Jaclyn Victor, Dayang Nurfaizah dan Misha Omar.

Liza mendirikan rumahtangga dengan Shah atau Mohamed Shahrin Samsudin pada 2003. Mereka dikurniakan empat cahaya mata, iaitu dua puteri dan dua putera, bernama Marsha Qistina, 14, Marissa Qaireen, 8, Mohammad Salehuddin, 6 serta Mohamad Ibrahim, 2.

Filem lakonannya, KL Menjerit (2002) popular dengan watak Linda Martopo serta Laila Isabella (2003). Manakala teater pula, P. Ramlee The Musical pada 2008.

 

Album studio:

-Epilog (1997)

-Di Mana Kan Ku Cari Ganti (1998)

-Puteri Jelmaan (1999)

-Istimewa (2000)

-Isyarat Jiwa (2001)

-Ku Teruskan (2003)

-Imagin (2007)

 

Album kompilasi:

-Molek (1998)

-Srikandi (1999)

-Aidilfitri di Alaf Baru (1999)

-Srikandi 2 (2002)

-Rindu Selalu (2005)