Be Like Water, Cabaran Altimet Inspirasi Bruce Lee

TIDAK berganjak daripada keputusan untuk bersara setelah usia mencecah 40 tahun, 27 November depan, penyanyi hip hop, Altimet mengeluarkan dua album baharu.

Pemenang Persembahan Terbaik menerusi lagu Amboi di Anugerah Juara Lagu ke-32 Februari lalu, bakal menghangatkan lagi industri muzik dengan album terbaharu beliau berjudul ‘Air’.

“Cetusan inspirasi untuk album kali ini, dari idola saya sejak kecil iaitu Bruce Lee dengan mutiara kata tersohor beliau,’Be Like Water’.

“Ia bermaksud sifat air apabila mengalir akan mengikut sebarang bentuk bekas memberi saya dorongan untuk membuat eksperimen di mana saya menyesuaikan lirik ke dalam muzik yang telah dicipta oleh penggubah lagu-lagu di dalam album ini.

“Cabaran ini telah menunjukkan versatiliti dan saya harap peminat dapat menerima kelainan yang ingin kami tonjolkan,” kata Altimet dalam kenyataan kepada Mangga Media.

Air merupakan album solo keempat Altimet, hasil kolaborasi dengan beberapa komposer termasuk Omar K, Navigator, Emir Hermono, Kidd Santhe dan Music Kitchen.

Hasil kolaborasi mereka telah memberikan nafas segar kepada album ini. Tetapi masih mengekalkan gaya tersendiri Altimet dan ianya bakal memaparkan enam buah lagu yang dipersembahkan oleh Pekin Ibrahim, Faizal Hussein, Baraka Blue, Kidd Santhe, Ashtin dan Aina Abdul.

Album edaran Warner Music Malaysia ini boleh didapati secara pra-tempahan di iTunes mulai 9 Mac dan akan berada di semua platform digital mulai 30 Mac ini.

Peminat juga akan dapat memperolehi album fizikal ‘Air’ yang direka eksklusif oleh Kongsi Design akan berada di pasaran di seluruh negara mulai 1 April depan.

Sebarang maklumat lanjut sila layari www.altimet.com.my.

Altimet merupakan rapper, penulis lagu dan produser yang banyak memenangi anugerah yang melalui lagu-lagu dan liriknya sejak tahun 2000 menerusi tiga album solo yang berjudul First Among Equals, Kotarayaku dan Amboi.

Beliau juga telah mempunyai tiga belas lagu carta nombor satu. Lagunya berjudul Kalau Aku Kaya merupakan lagu Hip-Hop pertama di Malaysia yang pernah menjadi tiga teratas di Anugerah Juara Lagu dan telah meraih lebih daripada sejuta muat turun digital.

Duta 1Malaysia dan Ikon Belia Kebangsaan ini juga telah diiktiraf sebagai ‘salah seorang individu yang membentuk Malaysia’ oleh majalah August Man dan beliau telah menjelajah ke merata dunia, dari Singapura ke Amerika Syarikat, United Kingdom hingga ke Kazakhstan bagi mempromosikan hasil karya beliau.

Suara Altimet juga pernah digunakan pada aplikasi Waze, iaitu aplikasi trafik yang berasaskan komuniti terbesar di dunia, di mana beliau merupakan rapper Malaysia pertama, yang didengari di aplikasi ini di seluruh dunia dalam Bahasa Inggeris dan Bahasa Malaysia.