Larangan Merokok.. Wajarkah Pelanggan Tampar Pelayan?

Di restoran inilah insiden pelanggan Tampar pelayan berlaku.

Pelbagai reaksi positif dan negatif apabila larangan merokok di kedai makan atau restoran mula dikuatkuasakan.

Baru-baru ini, seorang pelayan ditampar oleh seorang pelanggan kerana melarang merokok. Pelayan hanya menjalankan tugasnya, kenapa ditampar sebegitu sekali kan?

Menurut Utusan Online, tindakan seorang pekerja restoran menegur salah seorang pelanggan berhubung arahan larangan merokok di tempat makan membawa padah apabila dia ditampar dalam satu insiden di Sri Muda, Seksyen 25, Shah Alam, Selangor.

Dalam kejadian itu, pelayan lelaki berusia 25 tahun itu tidak mengalami sebarang sebarang kecederaan berikutan tamparan itu tidak kuat.

Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, ketika kejadian, pekerja telah menegur tiga lelaki anggaran usia 30-an yang sedang menghisap rokok di dalam restoran.

“Namun, teguran secara baik itu mengakibatkan salah seorang daripada lelaki terbabit terus menampar muka pelayan tersebut sebelum membuat bayaran dan beredar meninggalkan restoran bersama kumpulannya.

“Ketika kejadian terdapat dua pekerja restoran dan lima pelanggan di restoran tersebut. Hasil soal siasat terhadap pelayan ini mendapati suspek jarang datang ke restoran tersebut,” katanya.

Dalam pada itu, jelas Baharudin, pihaknya meminta suspek untuk tampil ke mana-mana balai polis berdekatan secara sukarela untuk memberi keterangan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan,” ujarnya.

MANGGA harap tidak timbul lagi isu sebegini. Kalau dah dilarang merokok di restoran, carilah tempat lain untuk merokok.

Sumber: Utusan Online