“Bidang Lakonan Tak Boleh Jadi Kerjaya Tetap”- Azhar Sulaiman

Azhar Sulaiman tidak terlalu memilih tawaran berlakon. FOTO: NORAZLINA OTHMAN

SEJAK dulu lagi, hero filem Abang 92, Azhar Sulaiman, 47, tidak menjadikan lakonan sebagai kerjaya tetap. Beliau memiliki ijazah sebagai Arkitek.

Filem popularnya lain, Sayang Salmah, Jimi Asmara (1995), Riang Tirana dan Mira Edora (1990).

“Berlakon ini, jangka hayat popular hanya tiga atau empat tahun sahaja. Jadi duit yang dapat hasil berlakon itu, apa yang harus dibuat untuk masa depan?

“Kenalah bijak atur hidup. Kalau lepas itu dalam sebulan atau dua bulan tak dapat tawaran berlakon, habislah… apa nak buat?

“Kerja berlakon ini tak boleh dijadikan kerjaya tetap… sementara sahaja. Tak boleh lama, bukan berlaku pada saya sahaja, dah terjadi pada ramai pelakon lain.

“Dalam Malaysia takkan berlaku pelakon lama masih kekal di atas sepanjang masa. Sampai waktunya memang tiada tawaran langsung, itu kita kena sedar diri,” jelas Azhar kepada Mangga Media dalam satu pertemuan di Bandar Baru Bangi, Selangor, baru-baru ini.

Azhar meluahkan sedemikian bukan kerana tiada tawaran berlakon langsung. Cuma baginya, di usia sekarang sebagai pelakon senior, tawaran itu terhad.

“Bukannya tak laku. Ada tawaran memerlukan watak sedemikian sesuai dengan usia macam saya, juga macam beberapa pelakon sebaya antaranya, Rusdi Ramli, Arash Mohd dan Datuk Eizlan Yusof…

“Kalau tengok skrip tawaran itu dan saya rasa tak sesuai nak bawa, kita cadangkanlah nama-nama kawan-kawan sebaya untuk pegang watak itu.

“Saya tak kecewa sangat atau rasa sentimental kalau tak dapat job… Bukan sebab tak nak berebut… lagipun bila masa nak berebut?

“Sedangkan dalam sebulan, job hanya datang sekali sahaja. Jadi tak ada kesempatan nak memilih.

“Janganlah cakap terpaksa tolak sebab ada banyak job lain, kononnya, letihlah nak rehat… Jangan cakap begitu… sebab di usia sebegini, job takkan datang selalu,” ujarnya lagi.

Pernah menjadi hero pujaan ramai wanita semasa populariti filem Abang 92.

Beliau baru selesai penggambaran filem terbaharunya, Bikin Filem arahan Yeop Hitler.

Filem berkisar tentang pekerja-pekerja filem ini turut dibintangi ramai artis popular lain antaranya, Sharifah Sakinah, Scha Alyahya, Mark Adam, Azrel Ismail, Zain Hamid, Azhan Rani dan ramai lagi.

“Kita kena jadi realisitik. Dunia lakonan hanya bagi duit dan paspot untuk naikkan profil dalam jangka masa tiga atau empat tahun sahaja.

“Lepas itu pandai-pandailah nak maintain kan nama,” ungkap Azhar. Filem-filem lain antaranya, Love Supermoon (2015), Jangan Pandang-pandang (2012), Andartu Terlampau, Belukar (2010), 1957: Hati Malaya (2007), Cicakman (2006), Trauma (2004), Black Maria (2003) dan Impian (2006),

Manakala antara drama popularnya, Cinta Korporat (1996), Cinta Antara Benua (1997), Astana Idaman (2001), Chinta, Cinta Tabloid (2010), Bukan Kerana Aku Tak Cinta (2013) serta Lafazkan Kalimah Cintamu (2018).

Azhar memiliki tiga cahayamata, Kaseh Leia Ixora, 20, serta pasangan kembar Andika Rees Pahamin dan Kaseh Iris Leona, 16.

Isterinya, Chempaka Emalin Pahamin seorang peguam yang mengusahakan syarikat guaman sendiri.