Daniella Sya Rasa Tercabar Cakap Bahasa Indonesia

Daniella Sya memegang watak Inspektor Michelle dalam drama bersiri Dosa. FOTO: NOREEZA HASHIM

 

SOALAN pertama yang ditanya Mangga Media kepada jelitawan bernama Daniella Sya, adakah beliau berdarah kacukan? Mengakui tidak, tetapi berketurunan Cina asli, lahir di Kedah.

Wajah ini bakal menambat hari khalayak melalui ketangkasannya sebagai Inspektor Michelle, seorang anggota Interpol (Polis Antarabangsa) yang diposkan ke Jakarta bagi menjejaki konco-konco kongsi gelap Gerbang Utara di dalam drama bersiri lapan episod, Dosa.

“Cabaran paling utama ialah masalah bahasa kerana penggambaran selama dua bulan di Jakarta beri masalah kerana saya langsung tak faham sebutir perkataan Indonesia.

“Sebab untuk Dosa, bukan setakat krew dari pihak produksi sana malahan 90 peratus skrip adalah dalam bahasa Indonesia.

“Untuk memahami skrip dan bahasa harian adalah lebih susah sebab bahasa Indonesia bunyi kedengaran seakan-akan tetapi kadang-kadang maksud perkataan berbeza.

“Tetapi saya belajar walau nak cakap itu payah sedikit. Nasib baiklah dalam Dosa, sebagai anggota Interpol, saya banyak bercakap bahasa Inggeris.

“Saya banyak terdedah pada lakonan di Singapura berbanding negara sendiri,” ujar Daniella kepada Mangga Media ketika sesi fotografi bersama barisan pelakon utama siri terbitan kerjasama Arie Zaharie Productions dengan Capitol Entertaiment Indonesia.

Dosa, arahan sutradara terkenal Indonesia, Ifa Isfansyah bakal memulakan tayangan di saluran Astro First Eksklusif, 14 Februari ini.

Ia turut diisi gabungan pelakon hebat tiga negara nusantara, Datuk M. Nasir, Remy Ishak, Roy Marten, Ashraf Sinclair, Hannah Al Rashid, Reuben Elishama, Maudy Koesnadi, Hisyam Hamid, Shenty Feliziana dan ramai lagi.

Kerana berada lama di rantau orang juga, Daniella tidak menyembunyikan hakikat beliau tidak mengenali para pelakon hebat Malaysia.

“Bahkan selama ini saya tak kenal langsung para pelakon Malaysia yang terkenal sehinggalah saya terlibat dalam Dosa.

“Bila buka IG mereka, barulah saya tahu mereka antara aktor hebat yang saya harus kenal. Walaupun mereka berada dalam senarai pelakon gred A tetapi mereka tidak sombong.

“Sangat merendah diri selain saling memberi kerjasama,” katanya lagi yang mulai aktif dalam seni sejak tahun 2006 dan kemudiannya banyak habiskan masa di Singapura sejak 2011.

Lahir di Kedah pada 8 Ogos, 1988 dengan nama penuh, Daniella Sya Yeng Yeng. Dibesarkan di Kuala Lumpur tetapi banyak menimba pengalaman seni di kota Singa sebagai penyampai radio, Lush 99.5FM.

Program televisyen popularnya Spin, selain pernah bergelar penyampai radio di Red FM serta Lite FM.

Jelitawan berusia 30 tahun ini banyak menimba pengalaman seni di Singapura

Memulakan kerjaya seni di bidang modeling pada usia 16 tahun. Filem lakonannya, Love You You (2011), Hantu Air (2012) dan Genggam (2013).

Manakala drama bersiri popular lakonannya terbitan produksi Singapura, Mata Mata pernah disiarkan di salah sebuah stesen televisyen tempatan serta telefilem Jongkong, terbitan Arie Zaharie Productions, bergandingan dengan Shukri Yahaya dan Kamal Adli.