Lagu HARAM Juara AJL33

Persembahan hebat Hael Husaini dan Dayang Nurfaizah dengan lagu Haram yang dinobatkan sebagai Juara AJL33

Tahniah MANGGA ucapkan! Lagu Haram nyanyian Hael Husaini dan Dayang Nurfaizah dinobatkan sebagai Juara Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-33, yang berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil, sebentar tadi (3 Februari 2019).

Haram yang merupakan ciptaan Hael Husaini dan Ezra Kong melayakkan mereka membawa pulang hadiah wang tunai RM50,000 beserta trofi AJL 33.

Naib juara pula jatuh kepada lagu Bunga nyanyian Ara Johari ciptaan Hang Nadim dan Laq Kadok. Mereka membawa pulang hadiah wang tunai RM35,000 beserta trofi.

Sementara itu lagu Sampai Bila ciptaan Sharon Paul nyanyian Misha Omar pula berada di tempat ketiga dan membawa pulang wang tunai RM20,000 beserta trofi.

Bagai menepati ramalan, Misha Omar melalui lagu Sampai Bila diumumkan memenangi kategori Vokal Terbaik dan berjaya membawa pulang hadiah wang tunai RM12,000 beserta trofi.

Persembahan Sufian Suhaimi melalui lagu Di Matamu yang membuatkan ramai penonton menangis dinobatkan sebagai Persembahan Terbaik AJL 33. Sufian menerima wang tunai RM12,000, trofi dan telefon pintar Samsung Galaxy A9.

Lagu-lagu lain yang turut bertanding di pentas akhir AJL ke-33 ini ialah Luluh (Khai Bahar), Jatuh Bangun (Haqiem Rusli ft Aman Ra), Semakin (Siti Sarah), Hajat (Hael Husaini),  Nisan Cinta (Siti Nordiana dan Jaclyn Victor), Bunga (De Fam), Tak Pernah Hilang (Kaer dan Amylea) dan Kau Pun Sama (Syamel).

Finalis AJL33 diadili 10 juri profesional iaitu Datuk Mokhzani, Datuk Wah Idris, Manan Ngah, Loke Yew, Ajai, Helen Yap, AG Coco, Adi Priyo, LY dan Azmeer selaku ketua juri.

AJL33 yang bersiaran langsung menerusi TV3 menyaksikan gandingan hebat Sherry AlHadad dan Alif Satar sebagai pengacara.

Foto: Instagram @tv3malaysia