Konsert Evolusi PJ 2018 Kenangan Terindah Peminat

Datuk Bandar Petaling Jaya, Datuk Mohd. Azizi Mohd. Zain (tengah) bersama Uchop, Ara Johari, Santesh dan Masya Masyitah

Walaupun hujan lebat, para peminat tidak berganjak malah terus terhibur dengan persembahan gabungan artis lama dan baharu.

Mana tidaknya, semua artis yang hadir memberikan persembahan yang mantap dan faktor hujan bukanlah alasan untuk mereka ‘menggegarkan’ pentas.

Itulah yang dapat digambarkan suasana Konsert Evolusi PJ sempena PJ Fair  2018 yang berlangsung baru-baru ini di
Dataran Petaling Jaya, Selangor.

Ara Johari dengan lagu Bunga

Artis-artis seperti XPDC, Ara Johari, Santesh Akim & The Majistret, Waris, Masya Masyitah dan Uchop Ahmad berjaya penduduk Petaling Jaya membanjiri tapak dataran tersebut.

Biarpun terpaksa bersaing dengan beberapa program hiburan di lokasi lain yang turut diadakan secara percuma, acara tahunan edisi keenam anjuran Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) ini berjaya menggamit kehadiran lebih 10,000 peminat pelbagai peringkat usia dan agama.

Waris

Menepati temanya International Folklore Festival (Festival Kesenian Budaya Antarabangsa), konsert dirasmikan oleh Datuk Bandar Petaling Jaya, Datuk Mohd. Azizi Mohd. Zain ini dimulakan dengan persembahan kebudayaan dari sembilan buah negara termasuk Malaysia sebagai tuan rumah yang menampilkan tarian etnik Melayu, Cina, India, Punjabi, Borneo, Indonesia (Bandung), Jepun (Miyoshi), Korea Selatan (Asan), Thailand, Filipina, Iran, Finland dan Botswana.

Uchop mempersembahkan lagu Roman Cinta bersama anaknya

   Kesemua negara ini terbabit di bawah program PJ Friendship City dan International Council of Folklore Festival and Folk Arts Organizations (CIOFF) iaitu sebuah badan bukan kerajaan (NGO) di peringkat antarabangsa di bawah seliaan United Nations Educational, Scientific and Cultural Organization (UNESCO).

Santesh dengan lagu Amalina

Hampir sejam setengah berlangsung, saat yang dinantikan peminat akhirnya tiba apabila penyampai Selangor FM, Ninie menjemput penyanyi Uchop Ahmad tampil membuka pentas menyampaikan dua lagu iaitu Abadi Kasih dan Roman Cinta.

Selepas itu giliran penyanyi remaja yang makin meningkat naik, Masya Masyitah pula
tampil menghiburkan peminat menerusi lagu Mawar Terbiar dan Halimunan.

Masya Masyitah turut menyanyikan lagu popularnya Halimunan

Suasana semakin gamat apabila Santesh menghiburkan peminatnya dengan lagu popular Amalina dan sebuah lagu Tamil.

Keputusan penganjur meletakkan Akim & The Majistret, Ara, Waris dan XPDC dalam giliran terakhir adalah satu langkah tepat kerana peminat tidak berganjak untuk menunggu sehingga akhir persembahan.

Persembahan bertenaga Akim & The Majistret 

   Akim & The Majistret tampil menyanyikan lima lagu iaitu Terlalu Mudah, Rampas, Stereotaip, Obses dan Lara.

Persembahan semakin menarik apabila Ara tampil menyanyikan lagu popularnya Bunga dan diikuti giliran Waris dengan lagu berjudul Lagu Bola dan Gadis Jolobu.

XPDC memukau

Persembahan kemuncak adalah kumpulan heavy metal XPDC memulakan persembahan dengan ucapan berunsur nasihat dan dakwah daripada vokalisnya Ali.

Turut di pentas adalah  anggota XPDC yang lain iaitu  Izo (gitar), Arif (gitar), Eddie (bass) dan Lola (drum).

XPDC mantap!

XPDC tetap bertenaga dengan rangkaian lagu berjudul Akhir Zaman, Selendang Merdeka, Doa dan Semangat Yang Hilang.

Konsert berakhir mengikut jadual pada jam 12 tengah malam dan peminat yang hadir dihadiahkan dengan persembahan bunga api sebagai penutup.

Selain konsert, PJ Fair 2018 turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti lain antaranya  Malaysia Book of Records – The Most Number of Mannequin Challenge Participants, Asian Corner (makanan & minuman, pakaian, kraftangan dan lain-lain), Painting & Pledge And Plant A Tree (World Habitat’s Day), PJ Green Explorace, Fun Run, Smart Ride, International Netball Championship, Pertandingan Memancing, Kids Zone dan lain-lain lagi.