Konflik suami isteri dalam Isteriku ‘Mem’ Besar

MENDIRIKAN rumah tangga atau melangsungkan akad dan nikah merupakan satu keputusan yang amat besar bagi seseorang perlu melakukan dalam hidupnya. Untuk melayari bahtera kehidupan bersuami isteri bukanlah sesuatu perkara yang mudah atau boleh dipandang remeh.

Perkahwinan melibatkan dua insan yang sanggup berkongsi hidup dan saling bertolak ansur serta bersabar dalam apa jua keadaan ketika susah mahupun senang.

Kisah Azizi (lakonan Arash Mohd) dan Maziah (Amyza Aznan), pasangan yang telah lama berkahwin namun hubungan mereka berubah menjadi dingin dek kerana masing-masing mempunyai perspektif yang berbeza.

Antara babak-babak dalam Isteriku ‘Mem’ Besar.

Azizi yang lelah bekerja di kota bercadang untuk pulang ke kampungnya dan bersara dengan aman damai serta ditemani dengan ahli keluarga tersayang.

Namun, konflik bermula apabila isterinya Maziah tidak bersetuju dengan cadangan suaminya, Azizi. Bagi Maziah, gaya hidup mereka sekarang tidak sesuai untuk kehidupan di kampung.

Berjayakah Azizi mencari ketenangan yang diimpikan olehnya selama ini? Adakah Maziah akhirnya akan bersetuju untuk berpindah ke kampung bersama seluruh keluarganya?

Segala jawaban ada dalam Isteriku ‘Mem’ Besar, slot Dahlia yang siarannya setiap Sabtu dan Ahad pukul 6.58 petang hingga 8.00 malam.

Drama 20 episod ini telah bersiaran sejak 13 Oktober lalu dan akan berakhir pada pertengahan Disember nanti. Antara pelakon yang menjayakan drama arahan Datuk Ahmad Tarmimi Siregar dan diterbitkan oleh A-Ten Alliance Sdn. Bhd. ini ialah Amyza Aznan, Arash Mohd, Mawar Rashid, Amirul Faqeem dan Azhar Osman.