Komposer Bocor Rahsia Rumah Yang Ingin Dijual Ahmad Dhani Berhantu!

Ahmad Dhani nafi jual rumah untuk tampung kempen politik.

SEJAK semalam lagi sudah heboh di media sosial, penyanyi, komposer, penerbit album yang juga pengasas band terkenal, Dewa 19 iaitu Ahmad Dhani mahu menjual salah sebuah rumahnya yang terletak di kawasan elit, Pondok Indah, Jakarta Selatan.

Tidak diketahui rumah yang mana satu kerana suami penyanyi dangdut Mulan Jameela itu memiliki dua buah rumah di kawasan yang turut diduduki ramai selebriti popular Indonesia.

Mangga Media sendiri pernah mengunjungi kedua-dua rumah tersebut di mana salah satunya dijadikan studio rakaman dan menempatkan banyak barangan koleksi pelantun lagu hit, Aku Cinta Kau Dan Dia ini.

Hasrat Dhani itu diketahui sahabat baiknya, komposer dan penyanyi Bebi Romeo. Namun, Bebi tidak berhasrat membeli rumah tersebut. Tetapi Bebi ada bocorkan rahsia mengenai rumah yang mahu dijual itu.

“Ada sesuatu yang tak diketahui masyarakat mengenai rumah Ahmad Dhani yang ingin jual itu. Rumah itu didiami banyak makhluk halus!

“Mungkin itu alasan Dhani mahu menjualnya lantaran sudah banyak hantu, bukan kerana perlukan wang untuk kegunaan politik,” ujar Bebi Romeo, pencipta lagu hit Mencintaimu nyanyian Kris Dayanti.

Komposer dan penyanyi, Bebi Romeo.

Bebi mengatakan punya bukti kukuh membocorkan rahsia tersebut setelah mendapat tahu salah seorang kru studio rakaman Dhani pernah dirasuk makhluk halus.

“Dulu semasa kami berada di Hong Kong, tiba-tiba Dhani dapat panggilan telefon dari Jakarta. Katanya, salah seorang pekerjanya kena rasuk dalam rumah tersebut,” ungkap Bebi.

Di waktu sama, Dhani juga menafikan hasrat menjual salah satu rumahnya bertujuan mendapatkan banyak wang bagi tujuan politik.

Dhani diketahui merupakan penyokong setia kepada ahli politik, Prabowo Subianto yang mahu bertanding jawatan Presiden tahun depan.

Khabarnya, Dhani dikatakan mencalonkan diri menjadi anggota legislatif mewakili parti Gerindra untuk Pilpres (Pilihanraya Presiden) bagi tahun 2019.