Kolaborasi Pertama Kali Anggun- Fazura Dalam Lagu The Good Is Back

Anggun dan Fazura ditemukan buat pertama kali beberapa jam sebelum masuk studio rakaman untuk lagu The Good Is Back. FOTO: IZWAN ZAINAL

MANA-mana penyanyi pun tidak akan menolak peluang berkolaborasi dengan penyanyi tersohor dari Indonesia, Anggun Cipta Sasmi yang lebih dua dekad naanya di persada muzik antarabangsa.

Peluang diberikan syarikat rakaman Universal Music berduet dengan Anggun menerusi lagu The Good Is Back, sangat dihargai Fazura.

“Siapa tak kenal Anggun? Semua orang tahu kredibiliti muzik dan lagu-lagu nyanyiannya. Apabila dapat peluang berduet dengannya, saya anggap ini satu penghargaan bagi saya yang rasanya masih baharu dalam nyanyian.

“Rasa takut dan risau itu sudah tentu ada tetapi saya seorang yang yakin serta selalu percaya diri,” ujar Fazura kepada Mangga Media, antara beberapa wakil penerbitan tempatan yang diundang merakam penyatuan penyanyi dua benua ini.

Anggun sangat popular menerusi lagu antaranya Snow On The Sahara, Mimpi dan Berganti Hati. Beliau mengakui pertama kali melihat Fazura melalui rancangan realiti Facing Up With Fazura yang pernah disiarkan oleh saluran E!

“Saya tidak kenal dan tidak tahu tentang Fazura sehinggalah saya menonton salah satu episod rancangan tersebut. Dalam episod itu, saya berkongsi kesedihan sama dengan Fazura yang kehilangan bapa semasa usia muda.

“Kemudian saya dapat tahu dia juga menyanyi. Jadi, apabila syarikat rakaman memaklumkan mengenai kolaborasi ini, saya bilang, why not?

“Tambahan pula saya sudah lama tidak berkunjung ke Malaysia untuk bertemu pihak media serta para peminat,” jelas Anggun.

Lagu The Good Is Back dimuatkan dalam album terbaharu Anggun berjudul 8, bakal diperdengarkan di seluruh dunia bermula Jumaat ini, 8 Disember.

Nantikan berita lanjut rakaman video temubual bersama Anggun dan Fazura di Mangga TV. Juga boleh ikuti Facebook Mangga Media.

Berikut beberapa gambar Anggun – Fazura: