Kisah Lelaki Kahwin Dua Di Cambodia

Adi Putra dan Fasha Sandha, pelakon utama Teratai kemboja yang menjalani penggambaran sepuluh hari di Cambodia. FOTO: ROHAIDA ZULKIFLI

 

BERADA di Cambodia mengikuti penggambaran drama bersiri 21 episod, Teratai Kemboja tidak sahaja menyelami cabaran dihadapi para pelakon, malahan menyelami kehidupan para penduduk di tiga perkampungan muslim iaitu Kampung Chhnang Province, Kampung Tralach District serta Kampung Krasah Thmey.

Teratai Kemboja terbitan produksi Saphire Screen pimpinan produser Hasniza Nordin yang sebelum ini mengeluarkan beberapa drama rating tinggi antaranya, Mr Boss Miss Stalker, Biar Aku Jadi Penunggu dan Ku Kirim Cinta.

Tidak sahaja berlatarkan keindahan lokasi tiga perkampungan muslim tersebut, jalan cerita drama arahan Along Kamaludin ini juga sangat menarik, berkisar tentang lelaki berkahwin dua di Cambodia.

Ia mengisahkan watak Fikri (lakonan Datuk Adi Putra) yang mempunyai konflik rumah tangga dengan isteri pertama (Elly Mazlein), lantas membawa diri ke Cambodia.

Di sana, beliau bertemu seorang imam dari Malaysia yang menetap lama di Cambodia iaitu Taufik (Hasnul Rahmat) yang mempunyai sejarah tersendiri dengan membawa lari anaknya, Nur Hidayah (Fasha Sandha) menetap jauh di rantau orang.

Takdir menentukan Fikri jatuh cinta dengan Nur Hidayah, lantas menikahinya tanpa pengetahuan isteri yang ditinggal jauh di Malaysia.

Lokasi untuk salah satu babak watak Fikri dan Ustazah Nur Hidayah berlatarkan Sungai Sap di Kampung Tralach District
Adegan Fasha Sandha sebagai Nur Hidayah dengan watak Hamdan lakonan Nafiz Muaz DFKL di lokasi Kampung Chhnang Province

Mengapa pilih Adi Putra dan Fasha Sandha?

“Memang pihak kami dan stesen televisyen nampak kesesuaian gandingan mereka untuk watak tersebut. Selama tiga bulan saya tunggu Adi, Fasha serta pengarah, Along untuk menyertai drama ini.

“Saya sanggup tunggu mereka selama tiga bulan sebab mahukan khidmat dalam drama ini. Alhamdulillah komitmen kesemua pelakon sangat bagus walaupun harus menempuhi kawasan ceruk kampung yang berlumpur, kotor dan cuaca panas.

“Sesuatu yang menarik dan berbeza kami persembahkan tentang kisah lelaki kahwin dua. Selalunya kita biasa lihat isteri kedua bersifat dominan, perampas dan suka mengikis. Kali ini berbeza apabila isteri pertama bersikap lebih antagonis.

Lokasi pemandangan sawah padi dengan bunga teratai tumbuh segar di Kampung Tralach District

“Sangat berbaloi tiga bulan tunggu kelapangan masa mereka, walaupun ada cadangan meminta tukar pelakon dan pengarah,” jelas produser Saphire Screen, Hasniza Nordin kepada Mangga Media yang turut mengikuti penggambaran di negara bekas jajahan Perancis itu.

Sepuluh hari di Cambodia dari 22 hingga 31 Januari lalu, melibatkan 110 babak dengan purata 16 babak dilakukan dalam sehari. Penggambaran di Cambodia melibatkan empat pelakon utama, Datuk Adi Putra, Fasha Sandha, Hasnul Rahmat serta Nafiz Muaz DFKL.

Penggambaran di Cambodia hanya melibatkan 10 peratus jalan cerita dan selebihnya dilakukan di Kuala Lumpur. Ia bakal mengisi slot Zehra TV3 untuk siaran sepanjang bulan Ramadan ini. Teratai Kemboja merupakan idea asal Dr Bambang manakala skrip tulisan Zarihah Hassan.

 

Produser Saphire Screen, Hasniza Nordin bersama sebahagian kanak-kanak di Kampung Krasah Thmey

 

Bersama Chef Dayang Adnin (bertudung hitam) serta dua pembantu, Afzal dan Hussein dalam penyediaan makanan sepanjang sepuluh hari berkampung di Cambodia

Mengapa memilih lokasi di 3 perkampungan Muslim tersebut?

“Rakyat Malaysia sebelum ini hanya tahu tentang orang Islam di Kampung Cham, Cambodia. Jadi kami mahu menjelajah tempat lain, maka tiga kampung ini jadi pilihan memandangkan kawasan persekitarannya yang menarik.

“Lagipun, tidak ramai mengetahui mengenai kehidupan saudara sesama Islam kita di tiga kampung tersebut. Kami juga buat sumbangan wang kepada kanak-kanak dan penduduk kampung, serta lokasi yang dipilih antaranya, surau serta masjid.

Menyedari kesukaran mendapatkan makanan halal dan bersih, selain tidak mahu kesemua pelakon serta krew terlibat jatuh sakit disebabkan tidak biasa dengan penyediaan makanan di sini, Saphire Screen menyediakan masakan yang diketuai Chef Dayang Adnin.

Pemilihan tiga lokasi itu juga kerana jarak tidak jauh dari bandar Phnom Penh iaitu sekitar sejam sahaja perjalanan melalui jalan darat.

Antara babak menarik melibatkan Fasha Sandha dengan beberapa penduduk kampung di Cambodia

Sebahagian krew produksi bersama pengarah, Along Kamaludin (tujuh dari kiri) di tengah sawah dekat Kampung Tralach District