Kisah Gadis Mampu Melihat Roh Manusia Yang Telah Mati

BAGAIMANA perasaan anda apabila memiliki kelebihan mampu melihat roh-roh manusia yang telah mati?

Adakah kehidupannya menjadi tidak tenteram apabila sering melihat roh yang menyeramkan atau kelebihan yang digunakan itu mampu menyelesaikan sebuah persoalan?

Itulah yang dipaparkan dalam filem bergenre seram berjudul Roh Yang Tak Terlihat, kisah seorang gadis yang mempunyai kelebihan tersendiri.

Bagaimanapun, kelebihan yang dimiliki itu ternyata agak sukar untuk dipercayai oleh orang sekeliling, terutama sekali ahli keluarga sendiri.

Pengarah filem ini, Billy Christian memberitahu antara salah satu sebab dia mahu terlibat dalam pembikinan filem ini kerana ia merupakan adaptasi daripada kisah benar.

“Dalam proses untuk menghasilkan filem ini, saya ada membuat satu sesi temubual dengan individu yang dipercayai memiliki deria keenam.

“Individu itu dikatakan mampu melihat dan berkomunikasi dengan makhluk yang tidak mampu dlihat manusia biasa,” ujarnya.

Menurut Billy, semasa sesi tem bual berkenaan, dengan dibantu seorang ahli psikologi individu berkenaan turut berkomunikasi dengan roh orang yang telah meninggal dunia.

“Sebenarnya, intipati jalan cerita dalam filem ini juga adalah hasil penceritaan daripada roh yang telah berkomunikasi menerusi individu tersebut,” ujarnya.

Sementara itu, bagi pelakon utamanya, Estelle Linden yang membawakan watak sebagai Saras, untuk filem ini dia banyak mendapatkan maklumat daripada beberapa individu yang memiliki deria ke-6.

“Saya sering bertanyakan soalan kepada mereka, terutama perasaan masing-masing apabila memiliki kelebihan sebegini.

“Ternyata cerita mengenai pengalaman yang dilalui mereka itu dengan keunikan yang dimiliki itu banyak membantu saya untuk menghayati watak yang diberikan,” terangnya.

Bercerita lebih lanjut mengenai pengalamannya bergandingan dengan artis senior seperti Sophia Latjuba, pelakon itu mengakui agak teruja dengan peluang tersebut.

“Sophia seorang pelakon yang sangat baik, cuma hubungan kami tidaklah terlalu akrab kerana jarang bertemu, terutamanya semasa sesi script reading,” katanya lagi.

 

SINOPSIS:

Filem seram dari Indonesia ini menceritakan kisah sebuah keluarga yang terdiri daripada seorang ibu tunggal iaitu Lidya (Sophia Latjuba) bersama dua anak perempuannya, Saras (Estelle Linden) dan Laras (Bianca Hello).

Saras, sejak zaman kanak-kanak yang berbeza daripada kanak-kanak lain umumnya kerana mempunyai kemampuan deria keenam atau disebut anak indigo.

Sebenarnya, Saras dapat melihat makhluk yang tidak mampu dilihat orang lain seperti roh orang yang sudah meninggal dunia.

Bagaimanapun, keupayaan Saras dianggap tidak munasabah oleh ibu, Lidya sehingga menimbulkan konflik antara mereka.

Apabila menginjak usia 17 tahun, Saras telah dirasuk sebanyak dua kali dan ia membuat Lidya bimbang dan meminta pertolongan daripada kakaknya, Rima (Roweina Umboh), seorang ahli psikologi.

Pada suatu hari, Saras didatangi oleh roh seorang gadis yang bernama Dinda (Frisly Balqis) pelajar sekolah menengah yang meninggal dunia kerana dibuli oleh seorang pelajar bernama Citra (Aliyah Faizah).

Roh Dinda datang menemui Saras untuk memberitahu sesuatu kepada ibu Dinda.

Setelah ditayangkan di Indonesia, filem terbitan Skylar Pictures ini akan ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia bermula pada 12 April ini.

Untuk pasaran di negara ini, Empire Film Solution Sdn. Bhd. dan Cashmere Studios bertindak selaku pihak pengedaran dan pemasaran untuk filem Roh Yang Tak Terlihat.

 

Roh Yang Tak Terlihat Cipta Rekod Perfileman Indonesia

Filem seram Indonesia, Roh Yang Tak Terlihat (judul asal Mereka Yang Tak Terlihat) mencipta rekod tersendiri apabila mendapat pengiktirafan Museum Rekor Indonesia (MURI).

Pengarahnya, Billy Christian berkata, pengiktirafan oleh MURI itu diberikan apabila filem itu mencipta rekod penampilan makhluk halus paling banyak dalam sebuah filem.

“Pada awalnya saya tidak menyangka akan menampilkan sebanyak 67 roh dan hantu sewaktu menghasilkan filem ini.

“Secara jujurnya, sewaktu menghasilkan lakon layar untuk filem ini saya tidak mengira jumlah roh dan hantu yang akan ditampilkan,” ujarnya.

Menurutnya, untuk kebanyakan babak dalam filem arahannya itu menampilkan banyak makhluk halus, sehinggalah dia diberitahu tentang jumlahnya oleh pihak penerbit.

Bagaimanapun, rekod berkenaan bukanlah menjadi sasaran utama kerana kemunculan begitu banyak makhluk halus itu lebih kepada memperkuatkan jalan ceritanya.

“Apa yang ingin dipaparkan adalah tentang keistimewaan watak utamanya yang mempunyai deria ke-6 dengan mampu melihat roh dan hantu di sekelilingnya.

“Itulah yang terpaksa dilalui oleh Saraswati sepanjang kehidupannya apabila sering berhadapan dengan makhluk halus,” jelasnya.

 

*Barisan Pelakon Roh Yang Tak Terlihat

Sophia Latjuba                            – Lidya

Estelle Linden                     – Saras

Bianca Hello                       – Laras

Roweina Umboh               – Rima

Dayu Wijanto                     – Dayu

Frisly Herlind                      – Dinda

Aliyah Faizah                      – Citra

Sharon     Sahertian                   – Saras (remaja)

Yova Gracia                         – Yova

Rorencya                              – Irina