Kisah dengki, cemburu dan cekal dalam Budak Usin

DRAMA genre komedi keluarga ini merupakan ‘spin-off’ kepada drama Budak Ijat. Mengisahkan sebuah keluarga yang terpaksa berdepan dengan pelbagai isu berkaitan buli, persepsi serta diskriminasi daripada orang lain selepas berpindah dari kampung ke sebuah bandar besar.

Usin (lakonan adik Akhbar Latefi) ialah seorang budak yang petah bercakap, comel dan berperwatakan menarik. Walaupun dia terpaksa menempuhi pelbagai cabaran hidup, tetapi dia tidak pernah mengalah atau berasa tewas dibuli oleh pelajar nakal bernama Syafik.

Sebaliknya, Usin sentiasa perjuangkan apa yang betul dan salah, seolah-olah dialah hero.

Kisah keluarga dan masyarakat banyak dipaparkan dalam drama ini.

Di rumah, Usin berdepan dengan keluarganya pula. Bapanya Rahim (Shamsul Ghau Ghau), berubah menjadi seorang yang kedekut dan berkira setelah ditipu pelanggan. Abangnya yang bernama Hud (Zalif Sidek) pula bercita-cita untuk menjadi seorang jurulatih zumba terkenal, manakala kakaknya Najwa (Najua P. Ramlee) sedang mengejar impian untuk menjadi pelakon terkenal.

Manakala ibu kepada Usin iaitu Imah (Syanie) pula sentiasa dicemburui oleh jiran sebelah rumahnya, Naquyah (Mak Ude), yang pantang melihat Imah lebih daripadanya. Naquyah akan lakukan apa saja untuk membuat Imah dibenci jiran tetangga. Persoalannya, bagaimanakah Usin dan keluarganya terus cekal dan hidup bahagia di samping dikelilingi oleh orang-orang yang dengki terhadap mereka?

Jangan ketinggalan sama-sama saksikan kisah keluarga dan masyarakat dalam Budak Usin, slot Iris setiap Isnin hingga Khamis pada pukul 6.30 petang hingga 7.00 malam yang disiarkan bermula 16 Oktober lalu. Drama 20 episod ini arahan Shahrulezad Mohameddin terbitan Radius One Sdn. Bhd. Antara pelakon drama ini, Adik Akhbar Latefi, Shamsul Ghau Ghau, Syanie, Zalif Sidek, Syafiq Kyle, dan Nik Adam.

Antara babak-babak dalam Budak Usin.