Kisah Cinta & Keindahan Iran Dalam Janji Zehan

Filem Televisyen Janji Zehan mempertemukan Nur Fazura dengan aktor dan model dari Iran, Amir Rezazadeh.

SELAIN jalan penceritaan yang menarik, filem televisyen (FTV) Janji Zehan turut mengangkat keindahan lokasi-lokasi istimewa dan bersejarah di sekitar negara Iran seperti di Shiraz dan Yazd yang cukup mempesonakan.

Penggambaran Janji Zehan telah diadakan di 43 lokasi utama di sekitar Iran terutamanya di Shiraz dan Yardz, serta mengambil masa selama 12 hari untuk diselesaikan.

Janji Zehan merupakan naskhah terbaharu arahan sutradara hebat, Bernard Chauly dan Zabrina Fernandez, yang bakal bersiaran di Astro First Eksklusif Saluran 480 dan platform digital ‘on demand’ mulai hari ini, 14 Februari.

FTV ini merupakan kolaborasi pertama di peringkat antarabangsa buat pelakon kelahiran Iran, Amir Rezazadeh (memegang watak Arman), 35, bersama aktres popular Malaysia, Nur Fazura Sharifuddin (sebagai Zehan).

Selain terlibat dengan lakonan, Amir yang turut aktif sebagai seorang model pernah menghiasi pentas peragaan utama di sekitar negara Timur Tengah dan India.

Keindahan tempat-tempat menarik Iran yang terkenal dengan penghasilan karpet menjadi lokasi utama Janji Zehan.

 

Pelakon hebat Bront Palarae turut membuat penampilan khas dalam FTV ini sebagai Faizal, watak abang kepada Nur Fazura.

Mengisahkan tentang percintaan dua individu yang baru berkahwin dan berbeza latar belakang, bahasa serta budaya.

Dengan tajuk asal dalam bahasa Iran, ‘Lahzeye Bi Payan’ yang bermaksud ‘Dalam Satu Detik Masa Yang Tiada Pengakhirannya’, FTV ini sekali lagi menampilkan gabungan hebat di antara Nur Fazura dan Bernard Chauly.

Kerjasama terakhir mereka adalah untuk filem Manisnya Cinta di Cappadocia terbitan Astro Shaw 2014. Mereka juga pernah bekerjasama  dalam filem Gol & Gincu (2005) serta Pisau Cukur (2009).

Selain Bernard, turut menduduki kerusi Pengarah adalah Zabrina Fernandez dan ini merupakan filem pertama arahan beliau. Zabrina sebelum ini lebih aktif dengan tugasan di belakang tabir sebagai Penerbit Kreatif dan Pengarah untuk program-program realiti dan gaya hidup (lifestyle) tempatan dan antarabangsa.

Fazura ditemani suami, aktor Fattah Amin semasa tayangan perdana Janji Zehan bersama pihak media pada Isnin.

Dalam FTV ini, kedua-dua Zabrina dan Bernard yang berpengalaman hampir 20 tahun dalam industri seni banyak mengangkat elemen kebudayaan, keindahan tapak-tapak warisan bersejarah di sekitar Iran dan keunikan makanan tradisi masyarakat Timur Tengah ini.

Janji Zehan yang berdurasi 90 minit ini bergenre drama dan romantik, serta menggunakan Bahasa Inggeris sebagai bahasa perantaraan.

Janji Zehan merupakan kerjasama Astro First Eksklusif bersama Wildsnapper TV Sdn. Bhd. Produksi ini pernah terlibat dalam penerbitan program-program realiti berskala besar dan bertaraf antarabangsa seperti The Apprentice Asia S1, Supermodel Me S5, Asia’s Got Talent, The Amazing Race S4 & S5, Fear Factor Malaysia S2 dan banyak lagi

Janji Zehan merupakan percubaan pertama Wild Snapper TV dalam menerbitkan sebuah filem televisyen.