KIRSTIE MAXIMUS… dulu dejay sekarang penyanyi!

BERMULA memilih kerjaya sebagai dejay, akhirnya Kirstie Maximus (29 tahun) memberanikan diri untuk menjadi penyanyi. Dengan berbekalkan keyakinan yang tinggi, Kirstie juga mampu mengalunkan lagu-lagu ciptaannya sendiri.

Kirstie pernah diundang untuk membuat persembahan dalam acara berprestij Miss Universe Beijing di China. Tidak menyangka diberikan peluang sebegitu, Kirstie amat berbangga bahkan ekoran daripada itu telah mengubah perjalanan hidupnya sebagai seorang penyanyi.

“Memang seperti dalam mimpi sebab peluang seperti ini bukanlah sesuatu yang mudah untuk diperolehi oleh mana-mana penyanyi tempatan tetapi mungkin rezeki saya. Saya amat berbesar hati dengan undangan ini. Tidak mahu melepaskan peluang berharga ini, saya berusaha keras memberikan persembahan yang sebaik mungkin walaupun rasa gugup amat menebal sebelum naik ke pentas,” ujar Kirstie dengan gembira.

Kirstie berharap agar diterima ramai daripada semua golongan…

Alleycats, Reshmonu dan Sasi The Don adalah nama-nama penyanyi berbangsa India di Malaysia yang berjaya menempa nama dalam industri muzik tempatan. Kini nama KIrstie Maximus menyusul dengan lagu-lagu berkonsep urban dan berbahasa Inggeris.

Pernah meriliskan lagu Rockabye X dan Alright X, Kirstie akur dengan permintaan peminat muzik tempatan yang gemarkan lagu berentak balada. Lagu Kembali X, percubaan yang agak berani Kirstie dan responnya amat menggembirakan serta membuak semangat Kirstie kerana lagu itu diterima ramai.

Jelas Kirstie, “Lagu duet saya bersama Evelyn ini mengisahkan tentang penantian yang tidak pasti, tetapi masih mengharapkan kekasih untuk kembali. Saya minta penulis lirik, Lynnzay Affandy untuk tulis lirik ini berdasarkan kisah sebenar sahabat karib saya. She was so broken hearted. Amat kecewa sehingga hampir mengalami sakit jiwa.

“Jadi, saya minta izin dia untuk saya ceritakan kisahnya dalam lagu. Melodi vokal saya cipta sepenuhnya, manakala susunan muzik dan produser adalah Kameron Pearson. Mereka ini adalah kawan-kawan dan saya amat bersyukur di atas sokongan mereka untuk percubaan ini. Saya ingin buktikan saya anak Malaysia yang menghormati dan mengkagumi Bahasa Melayu.”

Kirstie Maximus yang meminati Siti Nurhaliza, Anuar Zain dan Misha Omar, sedang berusaha untuk menghasilkan single baharu.