Kim Bum Tetap Masuk Tentera Walau Sakit

KIM BUM merupakan aktor berwajah comel yang bergandingan dengan Jo In Sung dalam siri popular That Winter The Wind Blows ( 2013) serta lawan lakon Lee Min Ho dalam siri Boys Over Flower (2009).

Drama terakhir Kim Bum adalah Mrs. Cop 2, memegang watak pembunuh kejam. Watak itu sekaligus mengubah gelaran ‘aktor berwajah cantik’ yang sering diterima kerana kali ini beliau tampil macho sebagai pembunuh.

“Setelah mendapat surat panggilan, Kim Bum akan melaksanakan tanggungjawab menyertai khidmat latihan ketenteraan mulai 26 April ini.

“Tetapi disebabkan masalah kesihatan yang dihidapinya, Kim Bum diletakkan di bahagian khidmat masyarakat,” petikan kenyataan media dikeluarkan agensi pengurusan Kim Kong by Starship.

Sampai hari ini, Kim Bum masih menjalani rawatan terhadap penyakit yang dideritainya sejak berusia awal 20-an.

Walau sakit, beliau tetap meneruskan tanggungjawab terhadap khidmat latihan tentera selain harus patuh arahan doktor untuk tidak mengabaikan pengambilan ubat-ubatan selain harus rajin bersenam.

Selama tempoh dua tahun dalam khidmat tentera, Kim Bum akan berehat seketika dari bidang lakonan.