KHALIFF mahu NAUFARA lahir 7 anak

TAHNIAH dan Selamat Pengantin Baru kepada penyanyi Naufara Yasin (35 tahun) dengan suaminya, Zulkhaliff Mohammad (33) yang bernikah pada 7 September lalu di Masjid Negeri, Kota Kinabalu, Sabah.

Pasangan yang sama cantik, bagai pinang dibelah dua…

Pada hari bersejarah buat pasangan ini, Naufara menerima tujuh dulang hantaran berbentuk barang kemas, cincin, sejadah dan manisan selain baju persalinan. Sementara wang hantaran perkahwinan sebanyak RM30,000 daripada pihak lelaki. Khaliff pula dihadiahkan sembilan dulang hantaran sebagai balasan daripada pengantin perempuan.

Naufara yang popular dengan lagu Setia, juga kakak kepada penyanyi Pija (Mentor) gembira ditemukan jodoh dengan Khaliff iaitu pensyarah bidang muzik yang bertugas di Universiti Malaysia, Sabah.

Akui Naufara, “Khaliff juga salah seorang anggota kumpulan Kayu Band yang saya selaku vokalisnya. Apabila banyak undangan persembahan nyanyian ke pelbagai tempat, hubungan kami semakin rapat. Tiga bulan selepas Khaliff berterus terang mahu memperisterikan saya, kami bertunang.

“Selepas enam bulan bertunang, kami bernikah. Apa yang memikat tentang Khaliff ialah kematangannya. Walaupun usianya lebih muda daripada saya tapi kebijaksanaan dan keperibadiannya buatkan hati saya cair pada beliau,” sambung Naufara.

Naufara bersama Pija.

Manakala sampuk Khaliff pula, “Istimewanya isteri saya ini sebab pendirian dan ketegasannya. Lebih menawan adalah senyumannya. Sikap keibuan dan penyayangnya buatkan saya tak sabar untuk memiliki zuriat. Kalau boleh mahu tujuh orang anak kami nanti, insya-Allah,” katanya sambil tertawa.

Tentang masa berbulan madu pula, kata suami Naufara ini mahu membawa isterinya mengelilingi Eropah pada akhir tahun nanti selepas majlis resepsi perkahwinan mereka dilangsungkan. “Kami juga bersyukur kerana ada di kalangan keluarga kami yang menghadiahkan percutian ke Jepun. Alhamdulillah,” sambung Khaliff.

Pengantin bersama keluarga.

Manggamedia mendoakan agar jodoh Naufara dengan Khaliff kekal dan bahagia sehingga ke syurga serta dikurniakan cahaya mata yang comel-comel.