KEVIN ANDREAN ‘Berpacaran’ Dengan Emma Maembong

JAKARTA – AKTOR muda Indonesia, Kevin Andrean, 25, mengakui berdebar-debar menanti tayangan pertama drama bersiri Dia di TV3 pada Oktober depan.

Bukan sahaja berdebar lantaran pertama kali diundang berlakon dengan produksi Malaysia, malahan lebih utama ialah gandingannya berpacaran dengan aktres popular Malaysia, Emma Maembong.

Menjalani penggambaran Dia di Jakarta dan Kuala Lumpur turut memberi pengalaman baharu buat Kevin terhadap kolaborasi dengan pelakon Malaysia, terutamanya Emma Maembong.

Dia merupakan drama bersiri 60 episod terbitan Orangetree Productions menggabungkan dua pengarah iaitu Eoon Suhaini dan Omar Aly Adly.

Kevin Andrean temui cabaran baharu berlakon dengan produksi Malaysia. FOTO: MAHZIR MAT ISA

“Menerusi drama Dia saya memegang watak Mika, sahabat sejak kecil Adit (lakonan Irwansyah). Watak Mika seorang penganut Buddha, mengalami konflik percintaan dengan Tina (Emma Maembong).

“Mika dan Tina mengalami masalah hubungan lantaran berbeza pegangan agama,” cerita Kevin kepada Mangga Media ketika ditemubual di Hotel Swiss-Bel, Pondok Indah, Jakarta, baru-baru ini.

Di luar drama, Kevin merupakan seorang muslim. Sinetron popular yang menaikkan namanya sebelum ini ialah Sekar pada 2009, bergandingan dengan aktres top Naysila Mirdad.

Juga sinetron Anugerah sebanyak 400 episod dalam tempoh dua tahun tayangan. Manakala filem lakonannya, Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck dan Oh Baby.

“Saya beruntung diberi peluang menjayakan drama ini. Saya anggap ini permulaan untuk mencuba nasib dengan produksi Malaysia lain selepas ini.

“Saya tidak berdepan masalah berkolaborasi dengan Emma. Dia baik hati dan banyak membantu,” ungkap Kevin yang turut berbakat sebagai penyanyi. Pelakon idolanya, Reza Rahadian dan Leonardo DiCaprio.

Mengakui masih single and available, tambah Kevin,” Jika ada peluang berlakon dari produksi Malaysia lain selepas ini, saya tak kisah tinggalkan seketika Jakarta.

“Mahu tahu dengan berlakon di sini saya bisa ketemu jodoh dengan gadis Malaysia,” seloroh Kevin lagi.