Kesihatan Makin Merosot, Heboh Gosip Julia Perez Meninggal Dunia

MACAM-MACAM berita tidak benar disebarkan mereka yang tidak bertanggungjawab apabila tahap kesihatan penyanyi dangdut dan pelakon Julia Perez, 37, yang dikhabarkan semakin merosot akibat penyakit kanser serviks tahap empat.

Malam tadi heboh di media sosial gosip Julia Perez atau Jupe meninggal dunia kesan daripada kanser serviks yang dideritainya sejak 2014.

“Dia baik-baik saja. Sekarang Jupe sedang tidur. Dia perlu banyak berehat dan tenang.

“Mohon doa semua yang baik-baik sahaja,” ujar pengurus Jupe iaitu Diana yang membantah keras gosip tersebut. Jupe kini menerima rawatan di Rumah Sakit Cipto Mangunkusumo (RSCM), Jakarta Pusat.

Keadaan kesihatan Jupe dikatakan makin merosot sejak semalam apabila beliau sudah tidak mampu bangun dari katil di wad.

Bahkan, Jupe dikatakan diberi makanan melalui tiup setelah kanser serviks merebak ke bahagian paru-paru dan leher selain kakinya membengkak.

Sepanjang beberapa bulan menerima rawatan, tidak putus-putus sahabat-sahabat Jupe menziarah termasuk teman-teman selebriti serta ahli politik.

Malam tadi sahaja Jupe menerima kunjungan Ruben Onsu, Indra L Bruggman serta Maia Estianty dari grup duo Ratu yang juga bekas isteri Ahmad Dhani. Maia dilihat tampil ke bahagian kaunter pembayaran hospital tersebut.

“Iya, saya bawa deposit,” ungkap Maia. Difahamkan beliau membuat bayaran kos rawatan Jupe kira-kira Rp 100 juta (RM35,000).

“Doakan aja semuanya dipermudahkan dengan baik. Saya belum tahu apa khabar selanjutnya,” jelas Maia.

Maia Estianty membayar kos perubatan rawatan kanser serviks Julia Perez