Kenapa ANDRIGO Rakam Semula Lagu ISABELLA?

Andrigo menyanyikan semula lagu Isabella dengan gaya vokal tersendiri

Penyanyi Indonesia bersuara mantap Andrigo atau nama sebenarnya Anrigo Indra Kurniawan, 31, telah merakamkan semula lagu Isabella oleh kumpulan rock lagenda, Search.

Walaupun Andrigo membawa lagu tersebut dengan gaya vokal tersendiri, masih ramai netizen  cuba membanding-bandingkannya dengan penyanyi asal lagu Isabella iaitu Amy Search.

Bukan itu sahaja, ada yang mendakwa Andrigo sengaja mahu menumpang populariti Search. Betul ke?

Ini jawab Andrigo kepada MANGGA, “

“Sejujurnya saya dan syarikat rakaman Nagaswara memang sudah bersepakat untuk merakamkan semula lagu Isabella yang ternyata masih menjadi siulan sehingga kini.

“Melodinya yang bagus dan dekat dengan hati serta mempunyai pengaruh yang besar, adalah antara sebab saya mahu menyanyikan lagu ini dengan nafas baharu.

“Bukan itu sahaja, lagu ini juga memang sesuai dengan karakter suara saya sendiri. Saya telah cuba sedaya upaya membawakan lagu ini gaya tersendiri tanpa merosakkan lagu asalnya.

Andrigo terima segala komen netizen yang membandingkan dirinya dengan Amy Search

“Apa yang membuatkan saya lebih yakin muncul dengan lagu ini apabila vokalis Amy Search mengucapkan tahniah kepada saya di Instagram,” luah Andrigo yang tidak kisah dikritik dan dianggap mahu menumpang populariti Search. Baginya, netizen hanya tahu mengkritik tanpa mengambil tahu apa yang positif.

“Tidak dinafikan, ada netizen yang mempertikaikan nyanyian saya dan membuat perbandingan antara saya dan Amy Search. Bagi saya ia tidak adil kerana Amy sudah menjadi lagenda. Siapalah saya hendak dibandingkan dengannya.

“Apabila ada yang mendakwa saya mahu menumpang populariti Search, iya.. Itu ada kebenarannya. Ini kerana setiap penyanyi yang menyanyikan semula lagu penyanyi lain pasti akan diberi perhatian lebih dan secara tidak langsung mendapat publisiti.

“Saya tidak tertekan atau risau dengan kritikan netizen. Mereka berhak melontarkan pandangan mereka kerana semua orang ada pendapat masing-masing. Apa yang pasti, komen mereka membuatkan saya lebih bersemangat untuk memperbaiki kelemahan yang ada.”

Dalam masa yang sama ada juga yang memuji usaha Andrigo yang berjaya  membawa lagu Isabella dengan cara tersendiri.

“Saya bersyukur masih ramai yang menyokong dan memberikan kata-kata semangat. Ada yang suka dengar lagu Isabella versi baharu ini. Kata mereka, Amy dan Andrigo adalah dua individu berbeza serta mempunyai karakter suara masing-masing.

“Ramai juga yang memuji kerana membuat tribute terhadap Search dengan cara tersendiri. Mereka mengucapkan terima kasih kerana menyanyikan lagu idola mereka. Saya anggap semua ini memberi impak positif kepada kerjaya saya yang mahu dikembangkan di Malaysia.”

Begitulah penjelasan Andrigo yang juga popular dengan lagu Pacar Selingan, Terbunuh Rindu, Demi Cinta, Cinta Sia-sia , Cinta Yolanda , Melamar Cinta , Jangan Katakan Cinta, Allah Semesta Alam dan banyak lagi.