Kena Dakwa Lagi: Farid Kamil Nafi Buat Laporan Palsu

BERTAMBAH dakwaan dikenakan ke atas pengarah dan pelakon, Datuk Farid Kamil Zahari, 37. Kali ini dakwaan di Mahkamah Majistret Petaling Jaya, Kuala Lumpur atas tuduhan membuat laporan polis palsu.

Bintang filem Tombiruo itu mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Salamiah Salleh selepas pertuduhan dibacakan pada Jumaat.

Dakwaan yang dikenakan ialah membuat keterangan palsu yang dilakukan di Balai Polis Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur, 31 Januari lalu sekitar pukul 5.54 petang.

Dakwaan kes itu dikemukakan mengikut Seksyen 192 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 193 kanun sama memperuntukkan hukuman penjara tiga tahun dan denda, jika disabit kesalahan.

Mahkamah bagaimanapun membenarkan Farid diikat jamin RM2,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 7 Mei depan untuk serahan dokumen.

Farid ditemani oleh adiknya, Fadzil Zahari dan peguam, Faizul Mohd Nasir. Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mary Phoon Keat Mee.

Di dalam sidang media sebelum ini, Farid mendedahkan gambar dua individu sebenar yang didakwa telah menganiaya dengan memasukkan dadah ke dalam minumannya.

Beliau menyatakan, dua individu terbabit menemuinya pada malam sebelum hari kejadian, 11 Januari dengan memperkenalkan diri sebagai pengurus artis bernama Osh dan penyanyi, Taj.

Farid turut berhadapan lima pertuduhan lain, termasuk empat pertuduhan mengasari serta mencederakan seorang anggota polis dan orang awam.

Beliau diikat jamin berjumlah RM12,000 ribu untuk empat kes tersebut pada 16 Januari. Manakala, satu kes pertuduhan memasukkan dadah jenis ganja, beliau diikat jamin RM3,000, 25 Januari lalu.

Kesemua kes bakal disebut semula di mahkamah sama, 7 Mei depan.