‘Kembali’ Kurang Menyengat? “Jangan Jadi Lalang”- KAKA AZRAFF

Kaka diiringi busker Ajam menghiburkan pengunjung bilik pameran Utusan Karya sempena Perhimpunan Agung Umno 2017. FOTO: ZULHILMI ZAINI

MEMANG ramai yang memuji muzik video single terbaharu Kaka Azraff, 28, berjudul Kembali yang menampilkan beliau sebagai Lady Warrior bersama penampilan khas aktor, Bront Palarae.

Namun, setelah tempoh sebulan seminggu dimuatnaik di Youtube, Kembali setakat ini hanya menerima 40 ribu jumlah tontotan.

Kalau nak dibandingkan dengan beberapa lagu penyanyi lain terutamanya penyanyi-penyanyi angkatan baharu yang berjaya meraih sejuta tontotan dalam masa beberapa minggu, jumlah diraih lagu Kaka itu boleh dikatakan jauh ketinggalan.

“Sebenarnya terus-terang dan secara jujur jumlah tontotan untuk lagu kali ini sangat slow. Saya tak pasti apa silapnya?

“Mungkin kesilapan itu datang daripada pihak saya sendiri, mungkin kerana kurang promosi. Tapi saya takkan putus asa,” ujar Kaka yang hadir memeriahkan segmen Mangga Media di Bilik Pulau Pinang, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur pada Selasa.

Portal Mangga Media bersama beberapa majalah di bawah penerbitan Utusan Karya terlibat dalam pameran dan jualan sempena Perhimpunan Agung Umno 2017 (PAU 2017) dari 5 hingga 9 Disember ini.

Kaka tidak putus asa perjuangkan muzik urban hip hop

Pelakon drama Kesempatan Kedua ini juga tidak menafikan kehadiran majoriti penyanyi baharu dengan muzik yang mereka ketengahkan turut memberi cabaran besar.

“Saya masih banyak tawaran menyanyi walaupun sekarang ini saya rasa ramai penyanyi baharu yang bagus dan sedang membina nama di landasan yang betul.

“Nak bersaing dengan mereka itu saya rasa sangat mencabar. Pastinya cabaran dari segi muzik. Saya sejak dulu perjuangkan muzik yang urban iaitu hip hop.

“Sedangkan kebanyakan penyanyi baharu sekarang dengan muzik mereka yang kita tahu sangat majoriti dan diterima baik semua penggemar muzik.

“Nak lawan mereka sekarang ini agak susah tetapi saya takkan putus asa. Saya akan terus perjuangkan muzik urban hip hop.

Kaka muncul dengan watak Lady Warrior dalam muzik video single terbaharunya Kembali

“Bukannya tak takut dengan muzik majoriti penyanyi baharu itu, tetapi saya percaya muzik ini akan berputar ikut masa. Lama-lama orang akan bosan dan akan cari benda baharu.

“Namun saya takkan sesekali mengubah muzik ikut trend, sebab seseorang penyanyi itu harus berpegang pada pendirian.

“Kalau kita nak ikut trend, maknanya tiada apa yang nak ditonjolkan dari segi pilihan muzik. Kita kena berpegang teguh pada pendirian, jangan jadi lalang,” tegas Kaka kepada Mangga Media.